
Laporan dan foto oleh Fauzrina Hj Bulka
MELAKA, 1 Sept (Malaysiaaktif) – Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini di Hospital Melaka diserikan dengan kelahiran 27 orang Anak Merdeka.
Pengawal keselamatan, Amid Amin, 34, tidak menyangka isterinya yang dijangka bersalin pada 14 September depan selamat melahirkan anak sulung mereka pagi semalam.
Isterinya, Nur Wahidah Shamsuddin, 22, melahirkan anak perempuan, seberat 2.3 kilogram pada pukul 5.32 pagi secara normal.
“Saya tidak menjangka dapat menimang cahaya mata seawal ini. Semalam isteri mengadu sakit dan perut mengeras, ingatkan boleh balik ke rumah, tapi rupanya terus masuk wad bersalin,” ujar Amid ketika ditemui semasa Majlis Sambutan Bayi Merdeka di Hospital Melaka, semalam.
Mengambil semangat Hari Kebangsaan, Amid mendoakan agar puterinya itu membesar menjadi seorang yang anak solehah dan membanggakan kedua-dua ibu bapanya.
Sementara itu, suri rumah, Sivapakiam a/p Rajendran, 28, berkata kelahiran anak kelimanya itu memang istimewa kerana kebetulan lahir pada Hari Kebangsaan.
“Saya memang dah tahu awal anak saya akan lahir hari ini dan memang saya tak sabar menunggu seolah-olah seluruh negara meraikan kelahirannya,” ujar Sivapakiam gembira.
Sivapakiam turut berharap anaknya yang lahir seberat 2.9 kilogram itu akan membesar sebagai seorang yang berjasa kepada negara suatu hari nanti.
Turut hadir di hospital untuk meraikan ketibaan anak-anak Merdeka yang terdiri daripada 19 lelaki dan lapan perempuan itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan isteri .
Menurut Idris, kerajaan negeri memang mahukan penduduk Melaka untuk sampai ke angka satu juta dalam masa 10 tahun lagi dan ia boleh jadi kenyataan kalau semuanya bersemangat seperti mereka yang melahirkan bayi pada hari ini.
“Tapi, apa yang lebih penting daripada itu adalah untuk meraikan anak-anak ini kerana mereka lahir dalam sebuah negara yang makmur, aman dan sejahtera.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron bersama isteri, Datin Seri Fadilah Abdullah, ketika membuat lawatan pada Majlis Sambutan Bayi Merdeka di Hospital Melaka.
“Itu adalah untuk menunjukkan rasa syukur kita bahawa hari ini bayi boleh lahir tanpa sebarang masalah seperti yang dihadapi seperti sebelum merdeka,” ujar Idris.
Dalam pada itu, Idris turut mengucapkan syabas kepada warga Hospital Melaka yang sedia berkhidmat dan menyediakan perkhidmatan yang cukup membanggakan tanpa mengira hari dan masa.