
Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa
BINTULU, 17 Sept (Malaysiaaktif) – “Lima tahun lepas saya menyertai aktiviti sukarelawan sempena Sambutan Hari Malaysia di Bintulu. Tahun ini setelah Bintulu dipilih sekali lagi sebagai tuan rumah, saya tekad membawa empat anak saya pula.”
Demikian kata, ibu, Rabiah Kamri yang dilihat bersama anaknya Muhd Feradzee Abu Bakar dan Nurasmuni Abu Bakar yang ditemui di khemah Aktivis Sehati Sejiwa di Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu sempena Sambutan Hari Malaysia 2016 semalam.

Rabiah bersama dua orang anaknya yang ditemui di Lapangan Terbang Lama Bintulu sempena Sambutan Hari Malaysia 2016
Tambah Rabiah, aktiviti sukarelawan amat dekat dengan jiwanya sejak dahulu lagi. Kepuasan apabila dapat bersama-sama dengan komuniti setempat bagi melancarkan lagi sesebuah program.
“Oleh sebab minat yang mendalam, sejak dahulu saya banyak menyertai misi bantuan kepada mangsa kebakaran dan mangsa banjir. Kepuasan itu hadir apabila kita dapat turun padang dan sama-sama merasai jerih payah mangsa.
“Tahun ini lebih menarik, kerana semangat Sehati Sejiwa itu kami sekeluarga dapat bersama-sama menghantar risalah, bendera dan bersorak bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan di sini,” ujarnya yang juga salah seorang Ahli Komuniti 1 Malaysia Sebezau.
Sementara itu, bagi anaknya Nurasmuni, peluang keemasan yang tiba ketika musim cuti sekolah ini tidak mahu disia-siakannya.
“Selama ini saya hanya dapat menonton Sambutan Hari Malaysia di televisyen sahaja, atau hanya mendengar kemeriahan acara daripada ibu tetapi kali ini kebetulan pula memang cuti sekolah, jadi saya juga teruja untuk bersama adik-beradik dan ibu untuk terlibat dalam sambutan kali ini.
“Selain menggunakan masa yang terluang bersama, kami semua rasa cukup seronok kerana dapat bersorak bersama pengunjung yang hadir. Kenangan yang amat menyeronokkan,” ujarnya yang merupakan seorang guru di Sabah.
Dalam pada itu, menurut Pengarah Aktivis Sehati Sejiwa, Hashim Bedu, Aktivis ini merupakan suatu program sukarelawan yang diwujudkan bersempena Bulan Kebangsaan 2016.
“Kami telah memulakan tugas di Tawau Sabah ketika pelancaran Hari Kebangsaan kemudian Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka pada Ogos lalu, dan kini kami berada di Bintulu pula untuk Sambutan Hari Malaysia.
“Seramai lebih 200 aktivis yang terlibat dalam mengedarkan lebih 1000 bendera dan risalah, serta membantu anggota keselamatan di samping menggelorakan semangat Sehati Sejiwa menerusi media sosial.
“Kami menggunakan laungan sorakan Ooo-haa, You You! dan Sehati Sejiwa selain merancakkan penggunaan hashtag #ilovejalurgemilang, #sehatisejiwa, dan #aktivissehatisejiwa menerusi Twitter, Facebook dan Instagram,” ujarnya.
Seramai lebih 12 ribu pengunjung telah hadir memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan 2016 yang berlangsung malam semalam.