
Liputan dan Foto oleh : Mohd. Anuar Ibrahim dan Saharuddin Othman (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 28 Sept (Malaysiaaktif) – Yayasan Kanser Malaysia dan Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) akan menganjurkan Majlis Malam Amal Bingkisan Kaseh OKB sempena pelancaran Tabung Kaseh Kanser OKB.
“Majlis amal ini bertujuan untuk mendapatkan dana serta sumbangan berbentuk kewangan bagi membantu golongan pesakit kanser yang miskin dan kurang berkemampuan”, demikian jelas Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad ketika sidang media khas di Hotel Royal Chulan di sini, semalam.
Majlis ini yang akan berlangsung di Dewan Tun Razak, Menara Berkembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur pada 3 Oktober 2016 bermula jam 8.00 malam dan akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Usaha POKB ini adalah amat tepat pada masanya berikutan data dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Februari 2015, terdapat lebih kurang 14 juta kes-kes baru kanser di dunia dan 8.2 juta kematian adalah berhubung dengan kes kanser”, ujar beliau.
Tambah beliau lagi “Di Malaysia, kanser adalah satu penyebab utama kematian di hospital kerajaan dan swasta di seluruh negara. Menurut statistik akhir tahun 2015, dianggarkan seramai 45 ribu orang rakyat Malaysia mengidap kanser setiap tahun dan majoriti pesakit adalah kaum wanita. Lima kanser utama yang menyerang rakyat di negara ini adalah kanser payudara, usus, paru-paru, pangkal rahim dan kanser kerongkong”.
Malam Bingkisan Kaseh OKB 2016 merupakan satu program amal yang julung kalinya diadakan dengan gabungan dua buah organisasi yang prihatin terhadap pesakit kanser dengan matlamat utama membantu pesakit kanser di seluruh Malaysia yang tidak berkemampuan serta mengurangkan beban penderitaan pesakit dalam pelbagai aspek.
Majlis ini juga akan turut dimeriahkan lagi dengan persembahan beberapa artis ternama tanahair seperti Datuk Siti Nurhaliza, Jay Jay dan Ayda Jebat yang akan menghiburkan tetamu dan pesakit kanser.
-DK