Skip to main content
Berita TempatanKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

Hadiah Mastera Iktiraf Karya Melayu Asia Tenggara

By 28 September 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Laporan dan Foto oleh : Zaharah Ismail dan Azri Zainal Abidin (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Malaysiaaktif) – “Sejak 20 tahun penubuhan, Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) bukan sahaja banyak menyumbang kepada perkembangan program penyelidikan yang diusahakan secara bersama bahkan berjaya membina hubungan kerjasama kesusateraan yang lebih erat dalam kalangan anggotanya”.

Demikian menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad yang mewakili Menteri Pendidikan pada Majlis Penyampaian Hadiah Sastera MASTERA Kelapan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, semalam.

Majlis ini menganugerahkan hadiah penghargaan kepada lapan orang peserta yang terdiri daripada empat buah negara. Penerima hadiah sastera ini pula terdiri daripada dua kategori iaitu Karya Sastera Kreatif dan Karya Sastera Bukan Kreatif.

Bagi Kategori Karya Sastera Kreatif, penerima Hadiah tersebut ialah Norsiah Abdul Gapar dari Brunei Darussalam dengan judul karya ‘Gerun’, Jamal D. Rahman dari Indonesia dengan karya berjudul ‘Rubaiyat Matahari’, Malim Ghozali PK dari Malaysia dengan karya berjudul ‘Langit Tidak Berbintang di Ulu Slim’ dan Johar Buang dari Singapura dengan karya berjudul ‘Pasar Diri’.

Manakala bagi kategori Karya Sastera Bukan Kreatif, penerimanya ialah Rayah Md. Ali dari Brunei dengan karya berjudul ‘Syair Kenangan Karya Muda Omar Ali Saifuddien: Satu Analisis’, Jamal T. Suryanata dari Indonesia dengan karya berjudul ‘Sastra di Tapal Batas Tradisi Cerpen Banjar 1980 – 2000’, Azhar Ibrahim Alwee dari Singapura dengan karya berjudul ‘Cendekiawan Melayu Penyuluh Emansipasi’ dan Mohamad Saleeh Rahamad dari Malaysia dengan karya berjudul ‘Oksidentalisme dalam Sastera Melayu Sebelum Merdeka hingga Era Mahathir Mohamad’.

Semua pemenang menerima wang tunai bernilai RM10 ribu dan sijil penghargaan.

Menurut Datuk Seri Alias, “Kerajaan Malaysia melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam Pelan Tindakan Strategik DBP 2016-2020 telah menggariskan Aktiviti Pengantarabangsaan Bahasa dan Persuratan Melayu sebagai salah satu Bidang Keberhasilan Utama”.

“Usaha pengantarabangsaan bahasa dan persuratan Melayu ini perlu direalisasikan menerusi kerjasama strategik yang melibatkan aspek pendidikan, penerbitan karya terjemahan, penggalakan, pemupukan serta pengiktirafan”, ujar beliau.

MASTERA yang dianggotai lima negara iaitu Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand bertujuan merapatkan hubungan, pengertian dan kerjasama kesusasteraan negara-negara anggota dalam usaha memajukan dan mengembangkan kesusateraan serantau ke arah menjadi warga sastera dunia yang berwibawa.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Seri Dr. Md. Salleh Yaapar.

-DK

Tinggalkan komen anda