
Oleh Muhammad Khairul Azad Yunus/ Vicky Matanjang / Johny George Kimlon
SIPITANG, SABAH, 3 Sept – Kumpulan Katarsis membawakan kisah ‘Tun Mustapha: Bapa Kemerdekaan Sabah’, berhasil mengajak penonton menelusuri jerih perih perjuangan Tun Mustapha menuntut kemerdekaan dan membangunkan Sabah, sekaligus berjaya mencuri hati juri.
Katarsis mewakili Pantai Barat Selatan (PBS) dinobatkan sebagai juara Pertandingan Akhir Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia Peringkat Sabah 2016 di Dataran Esplanade Sipitang, Jumaat, malam.
Katarsis dianggotai Mohd Saqafi Jubar Khan, 31, Bibi Norsarah Jubar Khan, 26, dan Jass Azliezan Jasili,30, berjaya mengetepikan cabaran dua kumpulan lain pada pertandingan akhir tersebut.
Menurut Mohd Saqafi, mereka merasa sangat gembira kerana persediaan rapi selama dua bulan akhirnya membuahkan hasil.
“Kami berterima kasih kepada seluruh ahli keluarga yang membuat kejutan dengan hadir menyaksikan persembahan sekaligus membakar semangat kami pada malam ini.
Kejayaan itu juga melayakkan Katarsis mewakili Sabah pada Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Melaka pada 23 hingga 25 September ini.
Mohd Saqafi yang menjalankan perusahaan logistik mengakui saingan yang lebih hebat bakal ditempuhi mereka.
“Pada peringkat kebangsaan, kami akan lebih fokus, teknik penceritaan akan dimantapkan, momentum dan artikulasi juga akan dititik beratkan selain tidak melakukan kesilapan dalam lakonan,” katanya lagi.
Mereka membawa pulang wang tunai RM3,000, piala pusingan dan sijil penyertaan manakala naib johan milik kumpulan Opera Anak Uli wakil Pantai Barat Utara (PBU) dan membawa pulang wang tunai RM2,000.
Tempat ketiga pula diraih kumpulan Permata DHPJ yang mewakili Tawau dan membawa pulang hadiah RM1,000.
Pertandingan Akhir Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia Peringkat Sabah 2016 yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Sabah ini dirasmikan oleh Ahli Parlimen Sipitang merangkap Exco Penerangan Negeri Sabah, Datuk Sapawi Ahmad.
-AAS