Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangorViral

‘Fiqh Tabayyun’ Dalam Mendepani Realiti Baharu

By 25 Oktober 2016Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Laporan dan foto oleh : Mohamad Zairin Bin Mohamad Zin

SHAH ALAM, 25 Okt (Malaysiaaktif) – “Prinsip ‘fiqh tabayyun’ harus diperdanakan dalam kalangan umat Islam dan menjadi bidang ilmu yang perlu dikuasai umat”.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berucap demikian ketika merasmikan Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2016 bertempat di INTEKMA Resort & Convention Centre, Shah Alam malam tadi.

“Prinsip ‘tabayyun’ tidak berdiri secara sendirian dan selari dengan prinsip ‘tabayyun’, wajar kita lihat akan kemurnian tradisi keilmuan di dalam Islam, yang tidak membenarkan kita membuat kesimpulan dengan mudah, tergesa-gesa dan sifar waspada,” tegas beliau.

Tambah beliau lagi, “Media sosial tidak boleh menjadi perkakas untuk meranapkan prinsip ‘Maqasid al-Shariah’ dan fitnah yang bertebaran sehingga mengganggu-gugat lima teras kewaspadaan ‘Maqasid al-Shariah’ iaitu agama, akal, harta, nyawa dan keturunan wajar ditolak sekeras-kerasnya”.

“Jika majoriti rakyat tidak rasional dan tidak ‘bertabayyun’, sudah pasti kita sedang berada di dalam keadaan politik yang sukar. Kemampuan kita menzahirkan suasana ekonomi yang mantap dan iklim politik yang stabil perlu beradangkan dan berlandaskan kemampuan rakyat bertabayyun dalam menerima berita dan perkhabaran,” ujar beliau lagi.

whatsapp-image-2016-10-25-at-08-42-54-3

“Kita perlu menolak sama sekali penggunaan media sosial sebagai medan menabur fitnah dan merebak dosa dan juga kita perlu menolak sama sekali kumpulan yang menyebarluaskan fahaman ekstrim yang mampu menggugat kesatuan dan keselamatan kita,” tegas Jamil Khir lagi.

Pada sesi sidang media, Datuk Seri Jamil Khir menegaskan, “Konsep ‘tabayyun’ adalah konsep dalam kita mencari penjelasan atau pencerahan dan kita semua maklum bahawa pengguna media sosial di negara kita terlalu tinggi”.

“Terdapat dua kelompok iaitu yang mengambil media sosial sebagai suatu benda ke arah positif dan satu kelompok lagi menggunakan media sosial sebagai pendekatan ke arah negatif,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, “Ini memberi gambaran kepada kita bahawa dalam dunia serba moden ini, soldadu siber atau ‘keyboard warrior’ ini tidak perlu masa sebab mereka berada 24 jam di hadapan komputer dan hanya sekadar tekan butang maka sampailah mereka di alam maya”.

“Pendekatan wasatiyyah dan juga bersama-sama dengan pihak UITM yang kebetulan menyediakan satu platform untuk tujuan ini dapat menerajui masyarakat secara bersama menjadikan ianya suatu konsep yang kita sebarkan sekarang ini iaitu konsep ‘tabayyun’, mencari penjelasan dan mencari kebenaran”, ujar Jamil Khir lagi.

Turut hadir pada majlis ini adalah Timbalan Menteri di Jabatan Menteri Perdana Menteri Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi bin Datuk Dusuki, Naib Canselor UITM, Prof. Emeritus Datuk Dr.Hasan Said, Pengarah Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM), Datuk Mohd Yusuf Din dan ahli-ahli Lembaga Penasihat IWM.

Kira-kira 500 orang hadir pada majlis ini.

 

-DK/AAS

Tinggalkan komen anda