Skip to main content
Berita SelatanHomeViral

Kebakaran di Hospital Sultanah Aminah, Enam Pesakit Maut

By 25 Oktober 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

JOHOR BAHRU, 25 Okt — Enam pesakit iaitu empat perempuan dan dua lelaki maut manakala seorang lagi terselamat dalam kebakaran di tingkat dua unit rawatan rapi (ICU) selatan Hospital Sultanah Aminah (HSA) pagi ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Othman Abdullah berkata seramai 166 anggota bomba dan 10 jentera dikejarkan ke HSA sebaik sahaja panggilan diterima pada 8.56 pagi tadi.

“Di ICU itu ada tujuh mangsa yang memang agak kritikal keadaannya yang difahamkan oleh doktor mereka terpaksa menggunakan bantuan pernafasan dalam keadaan normal jadi pesakit-pesakit itu tidak boleh dipindahkan sekiranya tiada katil sekali,” katanya.

20161025_111205

Antara pesakit yang dipindahkan berikutan kebakaran di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

 

Othman berkata bagaimanapun kebakaran tidak merebak ke tempat lain.

Sementara itu Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan, ACP Sulaiman Salleh berkata lima mayat dijumpai kira 11.15 pagi manakala seorang lagi sebentar tadi.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak mempercayai sebarang maklumat yang tidak sahih mengenai kejadian itu.

Sementara itu seorang saksi kejadian Habibah Abd Ghani, 37, berkata dia hanya menyedarinya kebakaran itu sebaik keluar dari bangunan berkenaan.

“Ketika kejadian saya berada di wad tingkat empat menemani bapa saya yang ditahan dalam wad akibat sakit tulang rusuk.

“Kemudian saya mendengar riuh rendah dan kami yang berada di situ diminta oleh jururawat supaya keluar dari wad berkenaan. Keadaan adalah terkawal ketika kami turun menerusi tangga sambil dibantu oleh kakitangan hospital,” katanya kepada pemberita.

pindah

Foto: Media Sosial

 

Habibah berkata dia kemudiannya melihat ramai pesakit dan kakitangan hospital berada di sekitar kawasan hospital.

Tinjauan Bernama pada tengah hari tadi mendapati persekitaran hospital sesak dengan kebanyakan pesakit dan kakitangan masih berada di luar bangunan hospital. Dalam pada itu Sulaiman berkata ketika kejadian, 294 pesakit dan 193 kakitangan HSA dilapor berada di dalam bangunan sama.

Empat mangsa perempuan dan dua lelaki yang maut itu merupakan antara tujuh pesakit di ICU berkenaan manakala seorang lagi iatu pesakit lelaki berjaya diselamatkan.

“Sementara itu daripada lapan kakitangan yang berada di wad berkenaan, tiga telah terhidu asap. Jadi kita hantar dua kakitangan berkenaan ke Hospital Sultan Ismail dan seorang lagi ditahan di sebuah wad di HSA,” kata Sulaiman.

pindah6

Foto: Media Sosial

 

Pesakit lain telah dipindahkan sementara ke wad-wad di bangunan lain.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pula berkata pesakit yang terjejas sedang dalam proses dihantar ke hospital lain berdekatan Johor Bahru terutama Hospital Sultan Ismail.

Status dan maklumat terkini kejadian itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, katanya dalam satu kenyataan.

Beliau meminta orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan menyebarkan maklumat tidak tepat mengenai kejadian itu.

 

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda