Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohorViral

Hati-Hati Buat Kenyataan Tentang Sultan Johor – GABUNG

By 8 November 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Oleh: Muhd.Danial Zakwan & Hashim Sha’ri (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 8 November (Malaysiaaktif) – Gabungan bukan kerajaan (NGO) Melayu Johor (GABUNG) bersama beberapa Gabungan Cina dan India Johor menyeru orang ramai supaya menghentikan kenyataan kurang sopan terhadap Raja-Raja Melayu, khususnya Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Naib Presiden GABUNG, Abdullah Md.Yusof, berkata saluran yang bersesuaian harus digunakan jika ingin meluahkan pandangan.

“Kita mohon, supaya mana-mana pihak, terutamanya yang daripada Johor, apabila ingin membuat apa-apa kenyataan yang berkait dengan Sultan Johor ataupun kesultanan Sultan Johor, perlulah betul-betul berhati-hati dalam tindakan yang ada.

“Saya percaya niat saudara yang buat kenyataan ini mungkin pada dia niat dia baik, tetapi dia tak tahu kenyataan yang dia buat itu memberi kesan yang besar kepada Bangsa Johor, terutamanya terhadap Sultan Johor,” katanya dalam satu sidang media khas di sini, semalam.

Abdullah berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pemuda Parti Bersatu Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Satees Munianddy mengenai titah Sultan Johor melalui laman Facebook.

“Apabila ada kenyataan yang kurang sopan, seolah-olah memperlihatkan baginda tuanku tidak tahu langsung tentang perundangan dan perlembagaan negara,” jelas Abdullah lagi.

Dalam sidang media berkenaan, Syed Saddiq dan Satees Munianddy diminta supaya membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Sultan Johor.

Sebelum ini, Sultan Ibrahim, dalam titahnya pada majlis Himpunan Bangsa Johor, melarang segala demonstrasi jalanan di Johor.

Ekoran titah Sultan Johor itu, Satees Munianddy melalui laman Facebooknya meminta Sultan Johor untuk tidak menghalang orang ramai berhimpun secara aman dan merendahkan Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Syed Saddiq dalam satu surat terbuka kepada Sultan Johor menerangkan hak untuk berdemonstrasi secara aman sebagai hak setiap warganegara Malaysia mengikut Artikel 10 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan selain diiktiraf udang-undang antarabangsa seperti Artikel 20(1) Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat dan Artikel 21 Waad Antarabangsa Mengenai Hak Awam dan Politik.

– AH

Tinggalkan komen anda