Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

KPDNKK: Sertakan Resit Pembelian Jika Ingin Buat Aduan

By 3 November 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh: Fauzrina Hj Bulka

JASIN, 3 Nov (Malaysiaaktif) – Pengguna digalakkan untuk mendapatkan resit pembelian minyak masak setiap kali urusan jual beli dijalankan terutamanya jika ingin membuat sebarang aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Menurut Pengarah KPDNKK Melaka, Jaiya Abu, setakat hari ini sebanyak 17 aduan diterima sejak 7 Oktober lepas berkaitan minyak masak di negeri ini termasuklah kekurangan bekalan, dan harga yang mahal.

“Sebentar tadi KPDNKK telah menyerahkan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 kepada Syarikat Hwan Lee Trading berkaitan dengan kenaikan harga minyak masak lima kilogram (kg),” ujarnya.

jaiya2-dari-kiri-menyerahkan-notis-kepada-peniaga

Pengarah KPDNKK Melaka, Jaiya Abu (dua dari kiri) menyerahkan notis kepada peniaga.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas operasi pemantauan harga dijalankan di premis yang terletak di Merlimau, Jasin semalam.

Jelasnya, peniaga terbabit mendapat bekalan daripada sebuah syarikat pembekal, dan berdasarkan pemeriksaan yang telah dijalankan pada Isnin lepas mendapati berlaku kenaikan harga.

“Notis tersebut diserahkan bertujuan bagi mendapat maklumat lanjut berkaitan dengan kenaikan harga dan tempoh tujuh hari diberikan dari tarikh serahan kepada peniaga untuk menyerahkan semula notis berserta dokumen yang  diminta oleh KPDNKK,” jelasnya.

Katanya lagi, adalah menjadi satu kesalahan jika pihak peniaga gagal mengemukakan dokumen sebagaimana dituntut dan kesalahan itu boleh didakwa di bawah Seksyen 57 AKHAP 2011.

4

Jika disabit kesalahan, bagi sesuatu pertubuhan perbadanan, denda tidak melebihi RM100 ribu, bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM250 ribu. Bagi orang perseorangan boleh didenda tidak melebihi RM50 ribu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Peniaga yang kita temu duga hari ini belum menetapkan lagi harga untuk dijual kepada pengguna tapi kita telah nasihat supaya harga yang akan dikenakan tidak melampau.

“Harga yang kerajaan kawal dan masih teruskan subsidi hanya minyak masak dalam bungkusan plastik satu kg. Selain dari itu, ia terbuka syarikat itu sendiri untuk menentukan harga,” katanya.

Namun begitu, KPDNKK masih lagi memantau dan membuat siasatan berdasarkan aduan yang diterima dan jika kenaikan harga tersebut tidak munasabah, mereka akan mengambil tindakan.

bekalan-minyak-terputus-semenjak-27-oktober-lepas

Bekalan minyak masak terputus sejak 27 Oktober lepas.

 

Tambah Jaiya, KPDNKK juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang sebaran atau cadangan harga untuk minyak masak selain bungkusan satu kg yang sedang viral di laman sosial.

Sementara itu, pada Isnin lepas, sebuah rampasan telah dilakukan di sebuah premis yang terletak di Melaka Baru di bawah Akta Kawalan Bekalan kerana tidak mempunyai permit dan lesen untuk menyimpan bekalan minyak masak dengan nilai rampasan dianggar berjumlah RM314.

Menurut Jaiya, KPDNKK telah mengerahkan anggotanya untuk membuat pemantauan setiap hari bermula 20 Oktober yang lalu, dan sebanyak 796 premis telah diperiksa.

“Pemeriksaan akan berjalan sehingga isu kenaikan harga ini dapat diselesaikan keseluruhannya,” tegasnya.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda