
Oleh: Zolkaiza & Hasbella Hasim / Foto Oleh Hasbella Hasim
SERI ISKANDAR, 3 Nov (Malaysiaaktif) – Sebanyak 1,100 jawatan kosong ditawarkan oleh pelbagai agensi pekerjaan yang terlibat dalam program Karnival Gerbang Kerjaya yang diadakan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Seri Iskandar hari ini.
Program yang bermula pukul 8.00 pagi dan berakhir pada pukul 2.00 petang itu merupakan anjuran bersama IKBN, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), dan Pusat Kerjaya Amanjaya (PeKA).
Karnival ini diadakan untuk meningkatkan pendedahan dan kefahaman kepada belia dan masyarakat setempat tentang kursus yang ditawarkan oleh Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS).
Program career talk dan sesi temu duga terbuka memberi peluang kepada belia memohon pekerjaan melalui sesi temu duga terbuka dari pelbagai syarikat. Antara pihak agensi yang terlibat ialah Grahatechs Resources Sdn Bhd, Yamaha, Carsem, Murata Electronics Manufacturing dan Hovic Bhd.
Menurut Pegawai Pemasaran Syarikat Animation Theme Park Sdn Bhd, Nor Diyana Meor Hedzir, 25, terdapat lapan bahagian kekosongan jawatan yang ditawarkan di syarikatnya.
“Kekosongan jawatan dengan kelulusan minimum Sjil Pelajaran Malaysia (SPM) ialah kru di taman tema, jualan runcit, servis makanan dan minuman, dapur, mengemas bilik, penyelenggaraan, kemudahan dan landskap,” ujarnya.
Seorang pengunjung karnival, Hazirah Rahim Bakar, 26, hadir untuk temu duga di Syarikat Animation Theme Park Sdn Bhd. Dia yang berkelulusan Ijazah Kejuruteraan dari Universiti Malaya kini menganggur di kampung halamannya di Ipoh setelah tamat kontrak di pekerjaan sebelumnya.
“Selepas tamat kontrak selama tujuh bulan bekerja di Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) di Sepang, saya ada membuat permohonan di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) secara dalam talian namun tidak dipanggil untuk temu duga,” luahnya.

Timbalan EXCO Belia, Sukan dan Sumber Manusia Perak, Maslin Sham Razman membuat lawatan ke booth Syarikat Grahatechs Resources Sdn Bhd.
Timbalan EXCO Belia, Sukan dan Sumber Manusia Perak, Maslin Sham Razman, merasmikan karnival tersebut yang dihadiri lebih 300 pengunjung yang sedang mencari pekerjaan.
-DZ