
Oleh: Fauzrina Hj Bulka / Foto: MBMB
MELAKA, 2 Nov (Malaysiaaktif) – Empat warga asing dan tiga rakyat tempatan ditahan manakala 38 set komputer bernilai lebih RM12,000 dirampas dalam serbuan yang dibuat oleh Majlis Perbandaran Melaka Bersejarah (MBMB) di beberapa premis di sekitar bandar raya di sini, semalam.
Beberapa agensi lain termasuk Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) turut serta dalam operasi yang dilakukan dalam usaha mengekang gejala tidak bermoral di negeri ini yang dilihat semakin sukar dibendung.
Setiausaha MBMB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Salim berkata, empat warga asing yang ditahan merupakan lelaki warga Bangladesh, manakala tiga rakyat tempatan merupakan dua lelaki dan seorang ibu tunggal yang berumur dalam lingkungan 23 hingga 34 tahun.
“Kita percaya, warga Bangladesh itu adalah pekerja di pusat perjudian itu dan mereka akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut. Manakala, warga tempatan itu kita serahkan kepada pihak JAIM,” kata Mohd Nasir ketika ditemui di pejabatnya.
Jelasnya, warga tempatan itu akan disiasat di bawah Seksyen 81 Enakmen Kesalahan Syariah Melaka 1991 iaitu berjudi.
Sementara itu, dalam operasi yang berasingan malam semalam, MBMB turut menahan seramai 25 orang yang kesemuanya warga asing yang menjalankan aktiviti pelacuran di sebuah hotel di Jalan Tun Ali, di sini.
Katanya, warga asing yang berusia lingkungan 20 hingga 38 tahun yang berjaya ditahan itu terdiri daripada 19 wanita dari Vietnam, lima wanita dari Thailand dan seorang lelaki Nepal yang dipercayai bapa ayam.
“Semasa ditahan, mereka ini didapati cuba melarikan diri dan ada yang bersembunyi di dalam tandas, lari ke ruang parkir dan ada yang lari sejauh 500 meter semata-mata tidak mahu ditahan,” katanya.
Tambahnya, dari jumlah yang ditahan, seramai tujuh wanita Vietnam dan seorang lelaki Nepal tersebut didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk siasatan lanjut.
-DZ