Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala LumpurPutrajayaViral

Filem Animasi Tempatan Mampu Tembusi Pasaran Antarabangsa – TPM

By 2 November 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Diyana Zamri (Putrajaya) / Foto: Irwan Shah

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Malaysiaaktif) – “Penerbitan filem, terutamanya filem animasi merupakan sebuah industri kreatif. Kerajaan amat menyokong usaha ini kerana mempunyai potensi yang cukup tinggi dan filem animasi dari Malaysia mampu berada di peringkat antarabangsa menjelang 2050 nanti.”

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian ketika merasmikan Majlis Gala filem Upin & Ipin Jeng, Jeng, Jeng! di eCurve Mutiara Damansara, semalam.

red_3882-tpm

Menurutnya, ini sejajar dengan Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan mampu dicapai dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), jabatan dan agensi kerajaan berkaitan perfileman.

Ahmad Zahid turut memuji para pemain industri yang berjaya menerbitkan filem animasi bermutu tinggi walaupun berhadapan dengan kekangan dana.

“Kita harap selepas ini FINAS akan memberi dana yang lebih banyak kerana industri ini mempunyai masa depan yang cerah.

“Pada tahun lepas, sektor animasi tempatan telah mencatatkan pertumbuhan yang baik dengan nilai eksport sebanyak RM100 juta manakala nilai jualan tempatan mencecah RM127 juta.

“Tahniah kepada Upin dan Ipin yang telah berjaya berada di pasaran antarabangsa dengan diterima cukup baik oleh Disney Channel. Ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan negara kita dan kerajaan akan terus memberikan sokongan kepada penerbit-penerbit tempatan,” ujar Ahmad Zahid.

red_3912

 

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berharap agar filem animasi turut mengambil kira jalan cerita dan mesej yang bersifat positif di samping dapat diterima oleh seluruh lapisan masyarakat.

“Mesej ini penting bukan hanya untuk golongan kanak-kanak tetapi harus mencakupi golongan dewasa. Keberadaan saya dan isteri (Datin Seri Hamidah Khamis), anak-anak dan cucu-cucu saya memperlihatkan bahawa ada Generasi X, Y dan Z dan insya-Allah, kita sesuaikan filem animasi ini untuk Generasi Alpha nanti,” katanya.

img_4508

Upin & Ipin Jeng, Jeng, Jeng! ini membariskan lakonan pelakon terkenal tanah air seperti Puteri Balqis, Awie, Sara Ali, Gambit, dan Remy Ishak. Asyiela Putri, pelantun suara asal watak Upin & Ipin, turut menjayakan watak kembar popular ini dalam filem. / Foto: Diyana Zamri

 

Upin & Ipin Jeng, Jeng, Jeng! merupakan filem usaha sama antara dua buah syarikat gergasi Malaysia, Les’ Copaque Production dan KRU Studios untuk menaikkan kembali industri filem tanah air yang dilihat semakin merudum.

Merupakan idea asal Pengarah Kreatif Les’ Copaque, Hajah Ainon, yang telah menerajui penulisan cerita siri Upin & Ipin selama 10 tahun, ilham bagi filem Upin & Ipin Jeng, Jeng, Jeng! ini datang setelah melihat kanak-kanak yang begitu meminati karakter Upin dan Ipin dan ingin berjumpa dengan mereka.

poster

Justeru, terhasillah sebuah cerita Upin dan Ipin yang boleh dilihat di alam nyata dan menjadi teman kepada kanak-kanak yang merupakan peminat setia Upin & Ipin.

Filem arahan bersama Hajah Ainon Ariff dan Erma Fatima ini akan disiarkan di semua pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei pada 24 November ini.

 

-SF

Tinggalkan komen anda