Skip to main content
Berita TempatanKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

Wacana Belia Antarabangsa Cegah Fahaman Militan

By 4 November 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Laporan dan Foto oleh Mohd Anuar Ibrahim (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 3 Nov  (Malaysiaaktif) – “Persidangan Wacana Belia Antarabangsa dilaksanakan tepat pada masanya berikutan peningkatan ancaman Daesh di Malaysia,” ujar Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak semasa ucapan pelancaran Program ‘Wacana Belia Antarabangsa’ di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Jelas beliau, “Di Malaysia, pihak berkuasa tempatan telah menahan lebih 200 orang yang dipercayai mempunyai perkaitan dengan militan Daesh,

“Sejak tahun 2013, didapati 100 orang warga Malaysia menyertai militan Daesh di Syria di mana 21 orang daripadanya terbunuh semasa peperangan manakala tujuh orang warga Malaysia menjadi pengebom berani mati di Syria,

“Berdasarkan serangan terancang yang dilakukan militan Daesh di Jakarta pada Januari 2016 dan peningkatan kes penculikan di Selatan Filipina, Malaysia kini berada dalam kedudukan yang bahaya,” tegas beliau.

Beliau menyatakan “Ada sesetengah pihak menganggap ancaman Daesh ini sudah menghampiri negara sedangkan militan Daesh kini telahpun berada dalam kalangan kita dan merancang serta menanti masa yang sesuai untuk melancarkan serangan di Malaysia”.

Pengerusi Persidangan Wacana Belia Antarabangsa, Khairul Azwan Harun dalam ucapannya pula berkata, “Pada Januari 2016, seorang remaja berusia 16 tahun lengkap berpakaian hitam dan sarung penutup muka  ditahan di sebuah pasaraya di Sungai Petani, Kedah kerana menjadikan seorang wanita sebagai tebusan menggunakan pisau”.

“Ketika disoal siasat oleh pihak berkuasa, remaja terbabit didapati terpengaruh dengan propaganda militan Daesh melalui media sosial”, tambahnya.

Khairul Azwan melahirkan rasa kecewa apabila belia negara mudah terpengaruh dengan agenda militan dan beliau menggesa agar langkah pencegahan kepada masalah ini perlu dilaksanakan.

Persidangan Wacana Belia Antarabangsa yang akan dilaksanakan di Sunway Resort Hotel and Spa, Petaling Jaya pada 26 November 2016 ini merupakan platform kepada belia untuk menambah dan berkongsi pengetahuan serta idea dengan pakar-pakar tempatan dan pembuat dasar di peringkat antarabangsa mengenai keselamatan negara dan ancaman di rantau ASEAN.

Bertemakan “Memperkasa Belia Ke Arah Masa Hadapan Yang Lebih Selamat”, dijangkakan seramai 1,000 orang peserta dari dalam dan luar negara akan menyertai persidangan ini termasuk ahli-ahli daripada negara Komanwel, ASEAN serta ahli-ahli daripada Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC).

-DK

Tinggalkan komen anda