Laporan dan foto oleh: Fauzrina Hj Bulka
JASIN, 4 Nov (Malaysiaaktif) – Sebanyak 10 pertubuhan berlainan dalam Parlimen Jasin membuat 10 laporan di Balai Polis Merlimau lewat petang semalam bagi membantah program Konvoi Bersih 5.0 di negeri ini.
Konvoi Bersih Melaka bakal diadakan selama dua hari bermula hari ini dengan konvoi berkenderaan bergerak dari Stadium Jasin dan membabitkan beberapa laluan termasuk Merlimau dan berakhir di Tampin.
Menurut polis, Konvoi Bersih 5.0 Melaka telah memohon permit untuk membuat perhimpunan namun mereka hanya dibenarkan berbuat demikian pada 5 November.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Roslan Ahmad, berkata mereka membuat laporan bagi mendesak pihak berkuasa untuk menyiasat tujuan sebenar konvoi tersebut diadakan.
Mereka mendakwa bahawa penduduk tidak mahu berlaku kekecohan atau kejadian yang tidak diingini berlaku sekiranya ia diteruskan.
“Kami tidak mahu konvoi yang jumlah pesertanya agak besar melalui kawasan tersebut dan tiba-tiba muncul pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan mencetuskan provokasi,” jelasnya ketika ditemui di balai polis tersebut.
Tambahnya, perkara tersebut tidak dapat dijangka kerana pernah berlaku kekecohan yang hampir mencetuskan ketegangan ketika kehadiran bekas Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga ke kawasan tersebut pada 2012 dan mereka tidak mahu kejadian seperti itu berulang lagi.
“Kami tidak membantah perancangan Bersih menganjurkan kegiatan mereka tetapi kumpulan itu perlu mengambil kira sensitiviti rakyat khususnya masyarakat di kawasan ini yang menolak demonstrasi jalanan,” kata Roslan.
Jelasnya lagi, Malaysia mempunyai sistem perlembagaan demokrasi yang menentukan kerajaan dipilih melalui pilihan raya, maka demonstrasi jalanan seperti ini yang melibatkan penduduk di kawasan setempat tidak perlu dibuat.
Laporan polis yang dibuat semalam dimulakan oleh wakil Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Merlimau Pasir diikuti wakil Persatuan Ketua Kampung dan Sidang Parlimen Jasin, Kelab Bell Belia Tamil (KBBT) daerah Jasin, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Merlimau Utara, UMNO cawangan Seri Rakyat dan JKKK Merlimau Utara.
Turut hadir dalam laporan yang dibuat selama hampir tiga jam itu adalah Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jasin; Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) daerah Jasin; Gerakan Belia 4B daerah Jasin; Persatuan Penduduk Taman Muhibah B dan UMNO cawangan Merlimau Barat.
-DZ/AAS