Laporan dan foto oleh: Fauzrina Hj Bulka
MELAKA, 8 Dis (Malaysiaaktif) – Menyambut saranan kerajaan negeri dengan larangan menggunakan beg plastik, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) berjaya menghasilkan beg serbaguna yang diperbuat daripada panji dan gegantung terpakai.
Menurut Pegawai Khas Yang Dipertua Negeri, Abd Latiff Mohamad, MPHTJ berjaya menukarkan status daripada bahan buangan kepada satu produk yang mampu dimanfaatkan kegunaannya dan di dalam masa yang sama dapat mengurangkan janaan sisa pepejal dan sampah.
“Banner dan bunting ini kita tidak beli, kita ambil daripada program yang tamat tempoh dan kumpulkan. Seterusnya akan hantar secara berperingkat ke KEMAS dan juga penjara,” ujar Abd Latiff yang ditemui di Pejabat MPHTJ pagi tadi.
Jelasnya, projek ini dapat membantu masyarakat tempatan seperti ibu tunggal dan ahli penjara dan secara tidak langsung sebagai sumber pendapatan mereka dengan menggunakan kemahiran yang ada.
“Kira-kira RM1,000 kos keseluruhan untuk menghasilkan hampir 600 unit produk dan sementara ini kita hanya jadikannya sebagai cenderahati kepada pelawat yang datang ke MPHTJ. Untuk jangka masa panjang, mungkin akan dibuka untuk jualan.
“Melalui projek ini juga, pihak majlis akan berperanan sebagai role model kepada kelompok masyarakat di dalam usaha untuk membudayakan amalan hidup hijau,” jelasnya.
Tambahnya, produk kitar semula yang dihasilkan termasuk fail mesyuarat dan bekas pensil merupakan hasil kerjasama antara MPHTJ dengan Jabatan Kemajuan Masyarakat Negeri Melaka (KEMAS) dan Jabatan Penjara Negeri Melaka.
Dalam pada itu, MPHTJ turut meraih penganugerahan antarabangsa berkaitan inisiatif hijau yang telah dilaksanakan iaitu Anugerah International Green World Awards 2016 dan Anugerah International Green Apple Awards 2016 untuk kali kedua baru-baru ini di Korea Selatan dan London.
-DZ