Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

RICH Bimbing Graduan Siap Diri Untuk Hadapi Temu Duga

By 22 Disember 2016Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Laporan oleh Fauzrina Hj Bulka

ALOR GAJAH, 22 Dis (Malaysiaaktif) – Lumrah menghadapi temu duga, pasti akan berasa gemuruh, gementar dan gugup. Bagi mengatasi masalah-masalah itu, Kolej Komuniti Masjid Tanah (KKMT) di sini mengadakan Klinik Bagi Menyiapkan Diri Graduan Menghadapi Temu Duga (RICH) peringkat wilayah Melaka dan Negeri Sembilan 2016 semalam.

Seramai 100 orang pelajar kolej komuniti semester akhir dari Melaka dan Negeri Sembilan menyertai program yang membantu mereka melengkapkan diri selain mengajar cara menyediakan resume yang mantap bersama penampilan diri yang baik ketika menghadiri temu duga.

Menurut pelajar KKMT, Muhamad Ikmal Hadi Abu Wahab, 19, banyak ilmu yang dapat dipelajarinya dalam program yang diwajibkan untuk pelajar semester akhir sebelum ke latihan industri itu.

whatsapp-image-2016-12-22-at-13-58-03

 

Katanya, banyak yang mereka pelajari, termasuk mendapatkan pelbagai petua untuk menghadapi temuduga, seperti cara menghilangkan rasa gementar dan mengawal perasaan supaya tidak gugup semasa menjawab soalan.

“Untuk hilangkan gementar, pengajar suruh kita beranikan diri dan berlatih untuk bercakap di depan orang ramai dan juga berlatih serta bersedia untuk jawab soalan sebelum pergi temu duga,” jelasnya.

Tambahnya, program yang turut memuatkan sesi simulasi temuduga, bengkel penulisan resume dan sesi grooming itu sangat membantu dan memberikan peluang kepada pelajar untuk dapat gambaran awal tentang temu duga sebelum mula bekerja.

“Selain itu, ia juga membantu saya untuk membina keyakinan diri dan komunikasi saya untuk menghadapi apa-apa juga situasi pada masa akan datang.

“Program ini wajib diteruskan kepada semua pelajar yang lain supaya bila mereka sudah habis belajar, mereka dapat sesuatu yang boleh memberi manfaat dan membantu dalam berusaha mendapatkan pekerjaan,” kata Muhamad Ikmal.

Menurut Pengerusi Pengarah Kolej Komuniti Wilayah Melaka dan Negeri Sembilan, Lt Kol Bersekutu (PA) Md Kasim Jaafar, program ini mampu memberikan pengalaman dan melatih pelajar untuk mempelbagaikan kemahiran insaniah, seperti kemahiran berkomunikasi, kemahiran berfikir dan kemahiran membuat keputusan, lebih berkeyakinan, berdaya saing serta menjadi pilihan industri.

kasim-duduk-no-6-dari-kiri

Lt Kol Bersekutu (PA) Md Kasim Jaafar (duduk enam dari kiri) ketika sesi penggambaran program.

“Ini selaras dengan pencapaian kebolehpasaran kolej komuniti sebanyak 97.4% yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi baru-baru ini,” katanya yang turut merasmikan program tersebut.

Md Kasim berharap agar para pelajar dapat menanamkan sikap sentiasa mencari ruang dan peluang dalam meningkatkan iltizam diri dan juga agar program ini dapat menjadi pemangkin dalam memacu kerjaya para bakal graduan Kolej Komuniti.

 

-DZ/AAS

Tinggalkan komen anda