Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Kelab Doktor Muda Bantu Pupuk Kesedaran Kesihatan dalam Kalangan Pelajar

By 25 Jun 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)

PENDANG, 25 Jun (MalaysiaAktif) – Dalam usaha melahirkan generasi muda yang celik kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pendang telah memperkasakan pelaksanaan Kelab Doktor Muda (KDM) di sekolah-sekolah terpilih sekitar daerah Pendang.

Penubuhan kelab ini adalah selaras dengan Garis Panduan Kementerian Kesihatan (KKM) dan dilaksanakan dengan kerjasama pihak sekolah dengan objektif utama penubuhannya adalah untuk meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan pelajar, membentuk sahsiah kepimpinan serta memupuk nilai murni berkaitan penjagaan kesihatan.

Sudut informasi yang sentiasa dikemaskini dengan informasi-informasi terkini dengan menggunakan infografik yang menarik.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) Unit Promosi Pendidikan Kesihatan, PKD Pendang Siti Safrah Zolkipli, yang ditemui kelmarin, berkata kelab ini juga memainkan peranan penting dalam melahirkan agen perubahan yang mampu menyampaikan mesej kesihatan kepada rakan sebaya dan masyarakat sekeliling.

“Kelab ini bukan sahaja menjadi salah satu platform pendidikan kesihatan yang berstruktur dan menyeronokkan, tetapi juga berfungsi sebagai sokongan kepada pelbagai program kesihatan yang dianjurkan oleh PKD dan pihak sekolah,” katanya.

Antara sekolah yang aktif menjalankan program di bawah naungan KDM adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Durian, SK Hujung Ketun, SK Bukit Jambul, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tiang, SMK Tanah Merah dan beberapa lagi sekolah berdaftar di bawah pemantauan PKD Pendang.

Pelbagai program telah dianjurkan di bawah KDM antaranya Program Minggu Kesihatan Sekolah, pemeriksaan kesihatan murid, ceramah dan bengkel kesihatan, projek inovasi kesihatan, pameran interaktif dan pertandingan penerokaan bertemakan kesihatan termasuklah sesi perjumpaan kelab juga diadakan secara berkala menggunakan modul rasmi KDM yang telah dibangunkan oleh KKM.

Pihak PKD Pendang ketika dalam sesi lawatan dan perjumpaan berkala ke Kelab Doktor Muda (KDM) SMK Tanah Merah.

Peruntukan bagi pelaksanaan program-program ini disalurkan melalui PKD Pendang menerusi dana Program Hepili yang bertujuan menyokong pelbagai inisiatif promosi kesihatan di peringkat akar umbi.

Siti Safrah turut memaklumkan bahawa keahlian kelab ini telah mencecah lebih 500 orang peserta dan amat berharap agar Kelab Doktor Muda ini terus menjadi platform yang dapat membentuk pelajar yang sihat, berdaya saing dan berpengetahuan dalam bidang kesihatan.

“Diharapkan agar kelab ini juga dapat diperluas dengan lebih banyak aktiviti inovatif dan inklusif sekaligus melahirkan para pelajar yang mampu menjadi duta kecil kesihatan di sekolah dan dalam kalangan komuniti setempat,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda