Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

21 Pasangan Sambut Bayi Tahun Baharu

By 1 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan / foto oleh Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 1 Jan (Malaysiaaktif) – Pelbagai emosi terserlah di Wad Bersalin, Hospital Melaka apabila seramai 21 pasangan suami isteri sibuk melayani si kecil yang lahir tepat pada hari pertama tahun baharu 2017.

Aizul Musa, 32, dan isteri, Nor Diana Geruka Abdullah, 32, menyifatkan kelahiran bayi ketiganya sebagai tuah buat mereka dan juga sebagai permulaan rezeki yang baik untuk tahun ini.

5740abdb-079f-4222-a9b8-234ac3ad5e70

Aizul dan pasangan gembira menyambut kelahiran bayi ketiga mereka.

 

“Saya jangkakan bayi saya akan lahir pada 25 Disember tepat pada Hari Krismas,  tapi rupa-rupanya dia nak turut sama meraikan Tahun Baru. Memang seronok sebab seolah-olah satu dunia raikan kelahiran mereka,”katanya yang tinggal di Semabok.

Namun begitu, beliau tetap bersyukur kerana isterinya telah selamat bersalin dan berharap rezeki mereka akan lancar pada 2017.

“Kami turut mengharapkan anak yang dilahirkan akan membesar dengan sihat, menjadi anak yang solehah dan mampu membanggakan kami sebagai ibu bapa,” katanya.

430882ef-72c3-4dd9-b148-c37c7f91345c

Latipah melawat pasangan dan bayi yang lahir pada tahun baharu 2017.

 

Aizul berkata demikian ketika Program Ziarah Kasih Lawatan Bayi Tahun Baru 2017 oleh Exco Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri, Datuk Latipah Omar dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat di Hospital Melaka di sini, pagi tadi.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, Hospital Melaka mencatatkan seramai 15 bayi iaitu sembilan lelaki dan enam perempuan yang mana ia dijangka jumlahnya akan bertambah dari masa ke semasa.

Sementara itu, Latipah menggesa kepada ibu bapa terutama pasangan muda agar tidak mengetepikan soal suntikan vaksin buat anak-anak sebagai langkah awal mencegah penyakit.

“Ibu bapa perlu ambil ruang dan peluang yang kerajaan telah berikan untuk memberikan vaksin kepada anak-anak mereka sejak lahir, ini penting untuk mencegah segala kemungkinan. Pihak hospital juga memainkan peranan penting.

“Bagi remaja juga, di peringkat Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), kita telah berusaha sejak dua tahun lalu turun ke Institut Pengajian Tinggi memberi vaksin Human Pappiloma Virus (HPV) secara percuma,” katanya.

 

-AAS

Tinggalkan komen anda