Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Kegigihan Ibu Tunggal Bersama Becanya

By 13 Januari 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan / foto oleh Hj  Mohd Noor Samion

BANDA HILIR, 13 Jan (Malaysiaaktif) – Ketika menelusuri bangunan Stadhuys, iaitu sebuah bangunan bersejarah yang terletak di Jalan Laksamana, di sini, kelihatan di hujung  bangunan tersebut sekumpulan pengayuh beca yang sedang menanti penumpang, melengkapkan lagi panorama indah di negeri bersejarah ini.

Dalam kalangan pengayuh beca itu, uniknya, terdapat seorang pengayuh beca wanita yang tidak putus memberikan senyuman kepada setiap pelancong yang melintasinya.

Pantas kaki melangkah menemuinya, seorang ibu tunggal yang tidak pernah termimpi untuk menjadi pengayuh beca.

Surayati Ismail, 47, berkata kerjayanya sebagai pengayuh beca bermula setelah kematian suaminya, Hanafi Mat, yang merupakan warganegara Indonesia.

Menurutnya, dia mempunyai empat orang anak hasil daripada perkahwinan tersebut dan dua daripadanya, Nurhasliza Hanafi, 26, dan Zuhairi Hanafi, 17, turut memilih pengayuh beca sebagai kerjaya separuh masa.

“Sekarang kami sukar untuk mencari rezeki kerana terpaksa menghadapi persaingan dengan pengusaha basikal, basikal bermotor dan motosikal elektrik, yang ibarat cendawan tumbuh di sekitar bandar,” katanya.

Deretan beca menunggu penumpang

Deretan beca menunggu penumpang di Bangunan Stadhuys.

 

Menurut Surayati, menjadi seorang pengayuh beca wanita amat mencabar lebih-lebih lagi dalam kelompok kerjaya seorang lelaki.

“Saya terpaksa menghadapi pelbagai cabaran, bukan sahaja daripada pelancong tetapi juga rakan pengayuh beca seperti gurauan yang kasar, kadang-kadang berunsur lucah dan diskriminasi jantina,” ujarnya.

Namun itu semua tidak dapat menandingi pengalaman pahitnya apabila melihat anaknya kemalangan jalanraya semasa pulang dari mengayuh beca dan meninggal dunia pada Disember yang lalu. Namun begitu, peristiwa itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus mencari rezeki.

“Saya berasa bangga menjadi pengayuh beca kerana dapat memperkenalkan sejarah dan kebudayaan masyarakat Melaka kepada pelancong dalam dan luar negara.

“Selain itu, saya juga dapat berkenalan dengan ramai pelancong dan memperoleh banyak maklumat untuk dikongsi bersama dengan pihak berkuasa,” katanya.

Tambahnya lagi, kini semua harga barangan keperluan meningkat dan menyebabkan kehidupannya semakin hari semakin tertekan hingga mereka hidup umpama kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

“Rezeki pengayuh beca bergantung kepada kemampuan menyapa pelancong asing dengan bahasa ibundanya dan berupaya menjadi pemandu pelancong,” jelas Surayati.

Pelancong asing yang tertarik dengan beca yang dihias cantik

Pelancong asing yang tertarik dengan beca yang dihias cantik.

 

Katanya lagi, pengayuh beca bukan hanya sekadar mengamit pelancong dengan hiasan beca yang cantik tetapi jika pelancong rasa suka dengan perkhidmatan yang diberi, sudah tentu mereka juga tidak berkira dengan bayaran yang dikenakan.

“Pendapatan saya sebulan mengayuh tidak sampai RM1,000, sebab itu walaupun sudah mempunyai keluarga sendiri, saya masih menumpang di rumah ibu yang terletak Kampung Bukit China,” katanya.

Menerusi riak wajah yang sedih, Surayati menyuarakan impiannya untuk memiliki rumah sendiri bersama anaknya suatu hari nanti dan bertambah yakin akan memilikinya kerana kerajaan telah melaksanakan Projek Perumahan Rakyat Terpimpin (PPRT).

Justeru, Surayati turut mencadangkan agar pengayuh beca diberikan elaun RM200 sebulan oleh kerajaan negeri Melaka untuk menjadikan mereka lebih stabil.

“Selain bantuan kewangan, kerajaan negeri boleh membantu dengan memberi latihan khas kepada pengayuh beca sebagai pemandu pelancong untuk memberi perkhidmatan terbaik dan boleh meningkatkan pendapatan penarik beca,” ujar Surayati lagi.

Sementara itu, Pengurus Besar, Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka, Norena Jaafar ketika dihubungi oleh Malaysiaaktif berkata, kerajaan Melaka sentiasa mencari jalan untuk membantu pengayuh beca bagi meningkatkan pendapatan mereka.

“Antaranya, menjemput pengayuh beca dalam program kerajaan negeri. Bayaran yang diberikan adalah RM40 sejam. Selain itu, kerajaan turut mengadakan perjumpaan setiap tahun bagi meraikan mereka dan memberi sedikit imbuhan kewangan,” katanya.

Tambahnya, Bahagian Promosi Pelancongan juga menjalankan kursus pemanduan beca yang selamat, pengucapan awam dan penyambut tetamu.

“Beberapa program akan dilaksanakan untuk kepentingan penarik beca seperti pemakaian baju korporat, membekalkan mereka lagu dondang sayang dan dialog bersama pengayuh beca,” jelas Norena.

 

-DZ/AAS

Tinggalkan komen anda