
Laporan dan foto oleh: Nurhasnani Abdul Wahab MELAKA, 21 Jan (Malaysiaaktif) – “Penjawat awam wanita perlu bijak membahagikan masa antara tugas hakiki, tanggungjawab sebagai suri rumah dan berpersatuan.”
Penaung Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Negeri Melaka, Datin Seri Fadilah Abdullah berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Puspanita Cawangan Negeri Melaka Kali Ke-35 di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, pada Khamis.
Menurutnya, penglibaran aktif setiap ahlinya merupakan terjemahan moto PUSPANITA, ‘Wanita Sepakat Negara Meningkat’.
“Kejayaan PUSPANITA yang aktif juga petunjuk bahawa Ketua Jabatannya cemerlang kerana berjaya mencorak pekerja yang berkebolehan selain mempamerkan kecekapan anggota perkhidmatan awam menguruskan persatuan,” katanya.
Salah seorang ahli PUSPANITA, Zinatul ‘Ashiqin Mohd Noor, 43, yang bertugas sebagai pensyarah Politeknik Merlimau bersetuju bahawa wanita bekerjaya sememangnya perlu bijak mengurus masa untuk memastikan amanah dan tanggungjawab dapat disempurnakan dengan baik.
Dalam majlis yang sama, anaknya Nuraina Naila Norisham, 16, ialah antara penerima Sumbangan Anak-Anak Cemerlang Tahun 2016 setelah mencatat keputusan 8A dalam ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun lalu.“Tiada ruginya aktif dalam PUSPANITA kerana setiap ahlinya sentiasa dihargai. Sebagai contoh, PUSPANITA Cawangan Negeri Melaka prihatin dengan meraikan pencapaian anak-anak yang cemerlang dalam peperiksaan utama negara,” tambah Zinatul.
Diminta berkongsi kejayaannya yang turut memegang jawatankuasa Biro Ekonomi Puspanita Politeknik Merlimau, ujarnya sikap dedikasi atas setiap amanah yang diberikan selain sokongan daripada suami dan Ketua Jabatan adalah sangat membantu.
Dalam pada itu, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Melaka, Rafeah Hanim Johari berkata, sepanjang 2016 PUSPANITA Cawangan Negeri Melaka telah melaksanakan pelbagai aktiviti meliputi program berbentuk pendidikan, kesihatan, keagamaan, sukan, sosial dan sebagainya.
-DZ