Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Balak Punca Banjir di Asahan

By 21 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan oleh : Khairunnisa Abd Rahman / Foto : Mohd Yusoff Botak

JASIN, 21 Jan (Malaysiaktif) – Sebanyak 18 buah rumah terlibat di tiga buah kampung yang terletak di Asahan, di sini, dalam kejadian banjir yang berlaku pada Khamis.

Tiga kampung yang terlibat adalah Kampung Relau, Kampung Bukit Asahan dan Kampung Sungai Dua.

Pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Azman Yusof berkata banjir ini berpunca daripada hujan lebat yang berlaku di sekitar kawasan Gunung Ledang dan Jementah, Johor. 


“Air dari sungai di kawasan berkenaan mengalir ke sungai Asahan dan membanjiri tiga kampung yang terlibat banjir semalam (Khamis),” katanya.

Tambahnya, mereka turut dimaklumkan bahawa aktiviti pembalakan turut menjadi punca bukan setakat pelepah, malah, batang pokok balak dibuang ke dalam sungai menyebabkan air tidak dapat mengalir dengan baik.

Azman ditemui selepas Mesyuarat Penyelarasan Bencana Daerah Jasin di Pejabat Daerah Dan Tanah Jasin, semalam.


Namun, menurut Pegawai Pejabat Meteorologi Melaka, Nasrul Hakim Hashim, taburan hujan di Melaka adalah normal walaupun pada musim monsun timur laut dan banjir kilat berkemungkinan akan berlaku sekiranya hujan turun berterusan.

Sementara itu, Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, Mohd Yusoff Botak berkata keadaan banjir di kawasan terlibat semakin pulih. 

“Pusat pemindahan telah disediakan di Sekolah Kebangsaan Asahan namun belum dibuka kerana keadaan masih terkawal.

“Kita perlu berterima kasih kepada semua agensi yang terlibat khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pertahanan Awam yang sentiasa dalam keadaan bersedia serta turut sama hadir melawat kawasan terlibat malam semalam,” ujarnya.

Pegawai Daerah Jasin, Zamrud Yahya bersama-sama ADUN Asahan, Datuk Abdul Ghafar Atan mengambil inisiatif untuk memberikan sedikit sumbangan wang tunai kepada 18 keluarga mangsa banjir di Balairaya Asahan petang semalam sebagai tanda prihatin.
-DZ

Tinggalkan komen anda