Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Arwah Tok Nan, Jamilah Punca Lundu Berkembang

By 6 Februari 2017Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

  Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa / Foto:Zarel Azreqh Zainal Aznam

LUNDU, 6 Feb (Malaysiaaktif) – Sejak Hari Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu berlangsung kelmarin, jalan-jalan utama sekitar Lundu dan Sematan mula dipenuhi dengan papan iklan berwarna hitam putih yang menunjukkan impian bekas Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem akan diteruskan oleh rakyat seluruh negeri.

“You wanted 5 more years but you left us much too soon. We will continue your quest for Sarawak’s rights.”

“Pemergianmu meruntun jiwa rakyat seluruh negeri. Impianmu pasti kami perjuangkan.”

Mesej tersebut cukup terkesan khasnya kepada rakyat Sarawak yang masih bersedih atas pemergian arwah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong  Datu akibat komplikasi jantung pada 11 Januari lalu.

Menerusi tinjauan Malaysiaaktif di sekitar Lundu mendapati rata-rata masyarakat masih merindui kehadiran arwah yang cukup dirasai khasnya apabila Lundu kini semakin maju seiring dengan kemajuan bandar raya Kuching.

Saffuan Haili kehilangan pemimpin yang cukup penting di Lundu.

Saffuan Haili menganggap pemergian Tok Nan sebagai kehilangan pemimpin yang cukup penting di Lundu.

Menurut Saffuan Haili, 52 yang berasal dari Kg. Sileng Melayu Tok Nan penduduk kampung berasa kehilangan pemimpin yang cukup penting di Lundu.

“Pembangunan di sini dah jauh berkembang seiring kemajuan di Kuching. Ada Centre of Technical Excellence (CENTEXS), lebuh raya Pan Borneo, Komuniti Sematan dan banyak lagi pembangunan yang dibuat. Ini termasuklah sekolah yang amat diperlukan oleh masyarakat di sini.

“Pemilihan isteri arwah, Puan Sri Jamilah Anu juga saya rasakan cukup tepat kerana nampak jelas projek-projek yang dibangunkan oleh arwah akan diteruskan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Imam Masjid Kg. Sileng, Arif Elie, 51 yang ditemui bersama Saffuan turut menganggap kemenangan mutlak pastinya milik Puan Sri Jamilah.

Saffuan Haili dan Arif Elie ketika ditemu bual Malaysiaaktif

Saffuan Haili dan Arif Elie ketika ditemu bual Malaysiaaktif petang tadi.

“Kelebihan Puan Sri saya lihat apabila arwah suami dia jadi Ketua Menteri, dia sentiasa ada di sisi. Banyak jasa Puan Sri kerana memperjuangkan kaum wanita selain menjadi Pengerusi Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Lundu ini yang membantu orang kelainan upaya (OKU).

“Dialah calon paling tepat bagi menggantikan arwah yang memang dah lama sakit dulu. Tak kira la Melayu ke Cina ke India atau kaum bumiputera Sarawak yang lain. Arwah pun kalau bukan jadi Ketua Menteri memang dia selalu datang sini. Tak pakai pakaian rasmi pun, pakai santai bersahaja,” jelasnya.

Arif turut menjelaskan tempoh edah bukan penghalang untuk Jamilah menang pada PRK kali ini.

“Tak payah pun Puan Sri turun kerana kemenangan tetap dalam tangan. Tempoh edah tak jadi masalah. Puan Sri ramai penyokong.

“Kita harap pengundi akan turun mengundi. Sokongan memang ada tak kira dari kampung kita atau kampung luar. Lagipun Puan Sri Jamilah memang selalu turun kampung,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, peniaga sayur-sayuran di Pasar Lundu, Pauline Chay Mikel juga terkesan dengan pemergian Tok Nan yang padanya banyak membawa perubahan kepada kemajuan Lundu pada hari ini.

Pauline mengganggap arwah Tok Nan dan Pn Sri Jamilah cukup mudah orangnya.

Pauline mengganggap arwah Tok Nan dan Pn Sri Jamilah cukup mudah orangnya.

“Saya lihat pembangunan juga semakin menggalakkan sepanjang Tok Nan jadi Ketua Menteri Sarawak. Dahulu Lundu ini cukup kecil dan tidak dikenali orang. Sekarang Lundu dah maju dan banyak perubahan.

“Tok Nan seorang pemimpin berwibawa yang cukup bagus kepada kami. Ketika mendapat  khabar pemergiannya, semua sebak. Dia memang baik. Kami semua di sini memang rasa kehilangan besar kerana beliau banyak membantu,” uajrnya sebak.

Pauline yang berasal dari Kg. Keranji turut mengganggap kedua-dua pasangan pemimpin Lundu itu cukup mudah orangnya.

“Puan Sri juga memang cukup mudah orangnya seperi arwah Tok Nan. Tidak mahu dipanggil datin. Datuk pun tak mahu kerana katanya mereka juga orang kampung. Rasa senang dengan kehadiran mereka.

“Puan Sri Jamilah seorang yang sangat peramah. Kami peniaga di pasar ini suka akan dia. Setiap kali dia beli sayur mesti dia beli banyak. Beli untuk anak buah dia sekali. Saya berharap dia akan menang,” ujarnya.

Pada PRK kali ini, Jamilah Anu yang mewakili Parti Barisan Nasional (BN) akan ditentang oleh Parti Reformasi Negeri (STAR), Johnny Aput dan Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS) Baru Raelson Richard Hamid.

Tarikh mengundi awal dijadualkan pada 12 Februari ini manakala hari mengundi biasa adalah pada 18 Februari ini.

-SF

Tinggalkan komen anda