Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

100 Pelajar Kepala Batas Terima Bantuan Persekolahan

By 6 Februari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Salawati Mat Shariff (Kepala Batas)

KEPALA BATAS, 6 Feb (Malaysiaaktif) – Pendidikan merupakan faktor penting bagi kelangsungan kehidupan setiap insan.

Bagi membantu pelajar-pelajar miskin luar bandar dalam menjalani proses persekolahan, seramai 100 pelajar terpilih daripada 11 sekolah kebangsaan di Kepala Batas telah menerima bantuan beg sekolah dan alat tulis, di sini semalam.

Salah seorang nenek kepada penerima bantuan yang ditemui wartawan Malaysiaaktif, Che Su Noh, 66, meluahkan rasa syukurnya atas keprihatinan penganjur membantu meringankan beban kewangannya.

Che Su yang menetap di Paya Keladi Hujung, di sini tinggal bersama cucunya, Nurul Awatif Nabihah, 8, dan seorang anak kelainan upaya yang berusia 24 tahun.

“Ayah kepada Awatif kini berada di pusat serenti dan ibunya tidak mempedulikan Awatif lagi setelah berkahwin lain,” beritahu Che Su dalam nada sebak.

Tambah Che Su, dia menaruh harapan tinggi terhadap cucunya agar cemerlang dalam bidang akademik supaya dapat mengubah nasib mereka.

WhatsApp Image 2017-02-05 at 10.13.48 PM

Pada majlis yang sama, seramai 20 pelajar Peringkat Parlimen Kepala Batas turut menerima Geran Biasiswa daripada Kolej IWEM.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kolej IEWM, Dr. Mohd. Syazwan Abdullah, para pelajar yang terpilih boleh mengikuti mana-mana kursus yang ditawarkan oleh kolej tersebut dalam tempoh 30 bulan seperti Pengurusan Infrastruktur Aset, Teknologi Kejuruteraan, Sistem Pengurusan Informasi dan Pengurusan Perniagaan.

WhatsApp Image 2017-02-05 at 10.13.48 PM (1)

Majlis anjuran Yayasan Pendidikan dan Kebajikan Pelajar Malaysia (YPKPM) ini telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Reezal turut menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara YPKPM dengan Kolej IEWM.

Turut hadir, Presiden Yayasan Pendidikan dan Kebajikan Pelajar Malaysia, Dr. Saharuddin Awang Yahya dan Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Shaari Osman.

– AH

Tinggalkan komen anda