
Oleh: Genda Sating / Foto: Razali Ihi
LUNDU, 12 Feb (Malaysiaaktif) – Ketua Wanita Barisan Nasional (BN), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil melahirkan rasa syukur apabila kempen Pilihan Raya Kecil Kawasan N.03 Tanjong Datu berjalan dengan baik, penuh adab, tertib dan mengikut peraturan.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Media Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini, petang tadi.
Menurut Shahrizat, melalui maklum balas yang diterima, kempen rumah ke rumah yang dijalankan oleh jentera wanita BN juga diterima baik oleh pengundi, jentera wanita BN juga dapat menjalinkan hubungan silaturahim yang erat antara satu sama lain.
Sehubungan itu, dengan tempoh kempen yang tinggal beberapa hari lagi, Shahrizat memohon agar jentera BN dapat mempertingkatkan lagi kempen mereka.
“Paling mustahak pada hari pembuangan undi nanti kita mesti galakkan semua pengundi untuk keluar menunaikan tanggungjawab,“ ujar beliau lagi.
Tambah Shahrizat , walaupun calon BN iaitu Puan Sri Jamilah Anu merupakan calon yang amat disenangi oleh pengundi di kawasan ini, mereka (jentera BN) tidak wajar bersikap sambil lewa dan leka dalam menjalankan aktiviti kempen mereka.
“Saya bersyukur kerana calon BN yang dipilih di kawasan Tanjong Datu ialah Jamilah, balu kepada Allahyarham Tan Sri Adenan Satem. Jamilah sentiasa mengiringi arwah menjalankan tugas sebagai isteri dan sekiranya menang, dia akan dapat menyambung visi dan misi arwah suaminya sebelum ini.“
“Pada masa yang sama, Jamilah seorang individu yang mempunyai personaliti tersendiri. Jamilah telah mencatatkan rekod yang amat baik terutamanya di kawasan Tanjong Datu.
“Jamilah juga telah lama menabur bakti dalam memberi sumbangan sebagai pemimpin dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Sebab itulah dia dicalonkan sebagai calon BN di kawasan ini,“ tambah Sharizat lagi.
Sehubungan itu Shahrizat mengingatkan para pengundi di kawasan ini agar keluar mengundi beramai-ramai pada hari pembuangan undi yang akan diadakan pada 18 Februari ini.
-SF