Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Peluk Cium Erat Nikmat Keamanan Negara

By 12 Februari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan / foto oleh M Zakry Chan

MELAKA, 12 Feb (Malaysiaaktif) – “Keharmonian dan keamanan negara bukan senang diperolehi dan pemimpin terdahulu telah berkorban untuk dapatkannya.”

Seorang penduduk tempatan yang lebih mesra dikenali sebagai ‘Uncle Ah Keong’, 68, berkata demikian ketika ditemui di rumahnya pada Khamis.

“Generasi muda ketika ini harus ingat bahawa keamanan hanya datang sekali dan jika kita lalai dan tidak menjaganya maka kehancuran negara akan berlaku.

“Negara yang berbilang bangsa dan agama amat terdedah dengan ancaman, sedikit isu sensitif boleh menjadi rusuhan kaum dan akan menghancurkan negara,” tegas Uncle Ah Keong.

Uncle Ah Keong

Tambahnya, rakyat Malaysia amat bertuah kerana kepimpinan negara terdiri daripada pelbagai kaum di Malaysia berjaya mengekalkan keharmonian sehingga hari ini sedangkan banyak negara di dunia yang berperang akibat perbezaan ideologi agama dan bangsa.

“Apa yang kita mahu hari ini dan masa depan adalah kehidupan yang memberi kesenangan kepada hati kita. Jika hati susah, fikiran pun akan tidak tentu hala.

“Tidak ada lagi rakyat Malaysia kebuluran, orang Melayu Cina dan India bebas dan berkawan baik dimana-mana sahaja dan ini harus dipertahankan.

“Jika ada permasalahan kita jangan bergaduh dan bersikap agresif sebaliknya penyelesaian boleh dilakukan di meja rundingan, cerita baik-baik semua boleh jadi baik,” katanya sambil tersenyum.

Uncle Ah Keong juga banyak bercampur dengan pelbagai bangsa sehinggakan rakan-rakan Melayunya memanggil dia sebagai Aziz.

Dalam pada itu, Setiausaha Komuniti 1Malaysia Taman Paya Rumput Permai, R. Visvahmuralli a/l Ramanadu, 49, berkata dalam memastikan kemakmuran negara terus dikecapi, rakyat harus bersama-sama menjaga tingkah laku sebagai warga Malaysia.

R. Visvahmuralli a/l Ramanadu

“Rakyat harus mengamalkan nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati, toleransi dan menerima seadanya bahawa kita hidup dalam sebuah negara yang majmuk yang muhibah.

“Setiap warga juga harus memahami perlembagaan persekutuan yang menjamin hak keistimewaan dan hak beragama di negara kita. Syukur dengan kemakmuran negara kita. Kita 1Malaysia,” tegas Visvahmuralli.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Idris Haron ketika berucap di Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina di Kampung Baru Sungai Udang semalam berkata semua masyarakat Cina bergembira menyambut Tahun Baru Cina (Tahun Ayam Api) yang membawa tuah kepada semua.

“Berkat kemakmuran negara yang kita kecapi, kita mesti menolak segelintir golongan yang menghasut supaya kita berpecah belah.

“Pemimpin yang ada sekarang sentiasa bersama rakyat dalam membantu sama ada dalam keadaan susah dan senang,” ujarnya.

 

-DZ/AAS

Tinggalkan komen anda