
Gambar utama: Facebook Pusat Maklumat Rakyat Melaka Tengah
Laporan / foto oleh M Zakry Chan
MELAKA, 27 Feb (Malaysiaaktif) – Pandangan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim berkenaan pengecilan jumlah penjawat awam yang dilihat mampu mengurangkan kos operasi kerajaan minggu lalu menimbulkan pelbagai reaksi dan presepsi masyarakat.

Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim berkata bilangan penjawat awam di negara ini harus dikurangkan kerana Malaysia mungkin tidak mampu mengekalkan tenaga kerja ini sekiranya berhadapan dengan krisis kewangan pada masa akan datang. / Sumber gambar: The MalayMail Online
Menurut Sabri Kassim (gambar kecil), 39, sebagai orang awam, dia melihat pendekatan mengecilkan jumlah penjawat awam adalah tidak wajar kerana perkhidmatan kerajaan kini bukan seperti sepuluh tahun dahulu.
“Perkhidmatan kerajaan kini jauh lebih maju dengan adanya Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang memanjangkan operasi di luar waktu pejabat sehingga sepuluh malam setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad,” ujarnya.
Jelasnya lagi, dengan perkhidmatan kerajaan yang terbaik sudah tentu perlukan penjawat yang berdedikasi dan mencukupi untuk melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.
“Namun begitu, kerajaan harus melihat cadangan mengurangkan penjawat awam tersebut dari sudut positif dengan melihat prestasi penjawat awam tersebut, jika tidak mencapai standard piawaian yang sepatutnya maka penjawat awam tersebut harus ditamatkan perkhidmatan kerana mereka ini akan menimbulkan masalah kepada perkhidmatan kerajaan.
“Sikap malas dan tidak bertanggungjawab dalam kalangan penjawat awam akan merosakkan nama baik kerajaan. Ketua jabatan juga tidak seharusnya melindungi kakitangan mereka yang bermasalah dan harus bersikap lebih bertanggungjawab”, jelasnya.
Naib Pemuda Umno Cawangan Kampung Panchor, Wira Sabtu, 37, berpendapat bahawa untuk mengurangkan kos operasi, kerajaan tidak seharusnya mengurangkan penjawat awam tetapi mengurangkan umur persaraan wajib penjawat awam kepada 50 tahun atau 55 tahun kerana faktor umur ini akan mengurangkan prestasi kerja kebanyakkan daripada mereka.
“Langkah ini juga dapat membantu generasi belia untuk mengisi kekosongan jawatan dan mengurangkan masalah pengangguran di samping memberi idea-idea dan semangat baharu untuk memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat.

Wira Sabtu berpendapat kerajaan sepatutnya mengurangkan umur persaraan bagi membuka ruang untuk generasi muda menyuntik semangat baru dalam ruang kerja.
“Isu pertindihan skop kerja penjawat awam tidak timbul, ia sekadar persepsi sahaja, sebagai contoh Jabatan Maritim, Jabatan Perikanan dan Tentera Laut Diraja Malaysia.
“Tiga jabatan kerajaan ini bertugas di laut dan skop kerja mereka berlainan. Jabatan Maritim menjaga keselamatan persisiran laut, Jabatan Perikanan menguatkuasa undang-undang perikanan dan pemulihan sumber perikanan manakala TLDM menjaga kedaulatan negara,” jelasnya.