Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala LumpurWilayah Persekutuan

Residensi Kerinchi, Hadiah Buat Penduduk Flat Kampung Kerinchi

By 27 Februari 2017Tiada komen3 minit bacaan
Laporan oleh Edawati Sulaiman / Foto: Sazaki Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 27 Februari (Malaysiaaktif) – Senyuman terukir manis hari ini bagi sebilangan besar penduduk asal Flat Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur dengan penyerahan kunci bagi kediaman baharu di Residensi Kerinchi yang dilihat lebih selesa dan kondusif untuk didiami.

Inisiatif terbaharu Kerajaan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan itu menggantikan rumah kira-kira 408 orang penduduk flat empat tingkat yang mula didiami sekitar tahun 1970 dengan unit baharu berkeluasan 900 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air serta satu tempat letak kereta.

Menurut salah seorang penduduk asal, Siti Zubaidah Abd Latif, 55, hasil daripada pembangunan semula Flat Kampung Kerinchi membolehkan keluarganya tinggal dengan lebih selesa kerana keluasan dan jumlah bilik tidur serta bilik air dapat memenuhi keperluan mereka sekeluarga.

WhatsApp Image 2017-02-27 at 2.27.26 PM

Kini kami sekeluarga boleh tinggal di dalam rumah yang lebih selesa dan cantik – Penduduk asal Flat Kampung Kerinchi, Siti Zubaidah Abd Latif

“Syukur allhamdullilah, akhirnya saya sekeluarga dapat menduduki rumah yang lebih selesa. Selama ini saya dan anak-anak seramai tujuh orang terpaksa berhimpit di dalam satu rumah yang hanya mempunyai satu bilik sahaja,” kongsi Siti Zubaidah.

Bagi Siti Zainon Abd Kadir, 64, sebelum ini kawasan Flat Kampung Kerinchi kelihatan usang jika dibandingkan dengan pembangunan sekelilingnya lebih-lebih lagi apabila kawasan kondominium baharu mula dibina dan ia nampak jauh ketinggalan dan tidak selari.

“Kini, kawasan ini juga telah dibangunkan semula dan dilengkapi dengan kemudahan yang baik. Kemudahan seperti Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, Pusat Internet 1Malaysia, Perpustakaan, Bazaria Pantai dan dewan komuniti turut disediakan,” katanya lagi.

WhatsApp Image 2017-02-27 at 2.27.31 PM

Siti Zainon (kiri) menyokong pembangunan semula Flat Kampung Kerinchi untuk setaraf dengan pembangunan sekeliling manakala Noraini Hussain (kanan) tidak sabar untuk menghias rumah baharunya itu.

Berlainan pula Noraini Hussain, 62, dan bagi Subair Kasnawi, 82 penduduk asal yang masih menunggu giliran untuk mendapatkan kunci rumah kerana penyerahan dilakukan secara berperingkat oleh pihak pemaju.

“Melihat kawan-kawan lain sudah pun menduduki rumah baru dan menghias rumah mereka membuatkan saya rasa teruja dan tidak sabar untuk berbuat perkara yang sama kelak,” tambah Noraini Hussain.

“Saya rasa tidak sabar untuk menunggu giliran bagi mendapatkan kunci rumah baru dan mendiami bersama keluarga,” kata Subair Kasnawi.

WhatsApp Image 2017-02-27 at 2.27.29 PM

Residensi Kerinchi merupakan sinar hidup baru kami sekeluarga – Penduduk Asal Flat Kampung Kerinchi, Subair Kasnawi

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kawasan Kerinchi kini telah bertukar daripada sebuah kawasan usang kepada pembangunan dengan reka bentuk pembinaan rumah yang moden, meriah dan mempunyai nilai pasaran yang lebih tinggi.

“Inilah bukti komitmen kerajaan kepada rakyat bagi menaik taraf kehidupan penduduk asal Kerinchi. Pelbagai kemudahan awam disediakan malah ia turut mempunyai akses secara terus ke kawasan komersial seperti KL Gateway, Bangsar South dan LRT Putra,” jelas Datuk Seri Najib semasa majlis penyerahan kunci Kerinchi Residensi hari ini.

Residensi Kerinchi merupakan hasil pembangunan semula di atas tanah berkeluasan 6.82 ekar yang telah bermula Mac 2014 dan siap sepenuhnya pada Oktober 2016. Pembinaannya mengambil kira keperluan keluarga besar yang tinggal di tengah-tengah kota raya.

Projek di bawah pemaju perumahan Suez Domain Sdn Bhd ini turut menyediakan kelengkapan kabinet dapur serta mesin pengering baju kepada setiap pemilik residensi bagi memenuhi keperluan masyarakat masa kini.

Pada asalnya, Flat empat tingkat yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor hanya berkeluasan antara 380 hingga 705 kaki persegi sahaja,  malah ada sebahagian unit yang tidak mempunyai bilik tidur.

Majlis Perasmian Residensi Kerinchi dan Kenduri 1Wilayah Persekutuan Parlimen Lembah Pantai telah dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Lembah Pantai dan Suez Domain Sdn Bhd.

WhatsApp Image 2017-02-27 at 2.25.29 PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahan replika dan simbolik pengecualian yuran penyelengaraan Residensi Kerinchi bernilai RM1 juta.

Dalam majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan replika sebagai simbolik pengecualian yuran penyelenggaraan berjumlah RM1juta kepada pemilik-pemilik asal yang mendiami Residensi Kerinchi daripada Sues Domain Sdn Bhd.

 

MSM

Tinggalkan komen anda