Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Pasangan Cina Bidayuh Salako Jamu Mi Udang Besar

By 11 Februari 2017Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan dan foto oleh: Luhat Ajang

LUNDU, 11 Feb (Malaysiaaktif) – Pekan Lundu yang dahulunya agak sepi kini sudah semakin rancak oleh sebab kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu sedang berlangsung sejak seminggu yang lalu.

Selain sibuk berkempen, rata-rata pengunjung yang tiba di Pekan Lundu dan Sematan pastinya tercari-cari hidangan istimewa masyarakat tempatan yang majoriti penduduknya berbangsa Bidayuh yang tidak dapat ditemui di tempat lain.

Pasangan peniaga kedai makan, Cina Selako, Chong Boon Jung , 43, isterinya Norina Anak Leomie , 38 dan anak mereka Chong Xiang Ka ,18, mengambil peluang dengan menambahkan jualan mereka ekoran kebanjiran orang ramai ke Pekan Lundu.

Terletak bersebelahan rumah ibadat Tua Pek Kong, Chong yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam memasak menggunakan kemahiran yang diwarisi darioada ibunya.

Chong menyediakan hidangan yang dipesan pelanggan

“Dalam bidang masakan, pengalaman saya hampir 30 tahun. Kemahiran ini diwarisi daripada ibu yang memang pakar dalam masakan kaum Cina.

“Menu masakan yang popular di kedai ini ialah Mi Udang Besar yang dijual bermula daripada harga serendah RM15 sepinggan bergantung kepada saiz dan berat udang. Resipi Mi Udang Besar yang ini merupakan resipi keluarga yang diwarisi turun – temurun,” ujarnya lagi yang ditemui di kedainya pada Khamis.

Pasangan peniaga yang masing-masing mampu bertutur bukan sahaja dalam bahasa Cina tetapi juga bahasa Salako ini biasanya memperoleh bekalan udang segar daripada nelayan setempat.

“Di Lundu dan Sematan, selain ketam, udang segar juga mudah diperoleh daripada nelayan setempat. Walau bagaimanapun jika bukan musim udang iaitu pada Disember hingga Februari, bekalan adalah terhad,” ujar Chong yang memperoleh kira-kira RM800 sebulan keuntungan setiap bulan.

Sementara itu, menurut isterinya, Norina yang berasal dari Kampung Sedemak, Lundu memberitahu jumlah pengunjung biasanya bertambah pada hujung minggu dan musim perayaan.

“Apabila tiba hujung minggu atau musim perayaan, ada penggemar menu kami dari Kuching sanggup bertandang ke Lundu semata-mata untuk menikmati menu istimewa ini sehinggakan ada yang sanggup menunggu giliran untuk mendapatkan tempat duduk.

“Ada juga menu lain seperti mi goreng, mi kolok, nasi campur dan sebagainya yang sudah sebati dengan selera masyarakat tempatan,” ujarnya lagi yang membuka kedai makan tersebut mulai 7.00 pagi hingga 3.00 petang setiap hari.

Dua pelanggan, Luhat Lihan dan Cassidy Lisut yang bertugas sempena PRK ketika ditemui memberitahu kedatangan mereka ke kedai tersebut kerana ingin mencuba sendiri keenakan Mi Udang Besar seperti mana diceritakan oleh rakan mereka sebelum ini.

Isteri Chong, Norina (Kiri) anaknya, Chong Xiang Kai (tengah) turut turun padang membantu perniagaan kedai makan ini

Isteri Chong, Norina (Kiri) anaknya, Chong Xiang Kai (tengah) turut turun padang membantu perniagaan kedai makan ini.

“Oleh sebab kawan-kawan yang ada di sini kerap menceritakan keenakan Mi Udang Besar di sini, kami terpanggil untuk datang. Namun saya sedikit kecewa kerana Mi Udang Besar telah habis awal. Lagipun ketika ini bukanlah musim udang di Lundu.

“Tetapi kami tetap menyimpan hasrat untuk berkunjung lagi ke kedai ini sekali lagi bagi menikmati masakan yang sering menjadi bualan ramai,” ujar mereka yang berasal dari Belaga itu.

Menyentuh pemergian Allahyarham Tok Nan, Chong menyatakan rasa sedihnya kerana Arwah Tok Nan ialah seorang pemimpin yang amat prihatin.

“Beliau mengambil berat kebajikan semua masyarakat di negeri ini termasuk masyarakat Cina di kawasan Tanjong Datu. Sekiranya Tok Nan masih hidup, pasti lebih banyak lagi pembangunan akan dibuat di Lundu khasnya dan Sarawak amnya.

“Saya dan isteri berharap agar isteri Arwah Tok Nan, Puan Sri Jamilah Anu dapat meneruskan agenda pembangunan yang dirancang oleh arwah suaminyasebelum ini, sekiranya diberi mandat menjadi wakil rakyat di sini. Kami akan turun mengundi pada 18 Februari ini,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, anak sulung mereka yang sedang menunggu keputusan peperiksaan turut melahirkan hasrat agar kerajaan mewujudkan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Daerah Lundu.

“Dengan adanya IPT, dapat memberi peluang kepada golongan muda sepertinya meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi tanpa perlu berhijrah ke Kuching atau Semenanjung Malaysia,” ujar Xiang Xa penuh harapan.

-SF

Tinggalkan komen anda