Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Pasar Malam Kini Medan Selera Lundu

By 11 Februari 2017Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Laporan dan oleh Mohd Baharruddin Mohamad (Sarawak)

LUNDU, 11 Feb (Malaysiaaktif) – Setelah 12 tahun berniaga di pasar malam dengan gerai lintang pukang di kawasan yang tidak elok dipandang, Rahmah Jahar, 43, merasakan seolah bermimpi dalam kenyataan apabila terpilih untuk berniaga di gerai baru yang dinamakan Medan Selera Lundu.

Setelah sekian lama menunggu pembinaan medan selera selesai selepas peletakan batu asas oleh bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, Rahmah berasa gembira biarpun terpaksa berpindah buat kali kelima.

Rahmah yang berasal dari Kampung Siling, Lundu, merasakan ini sebagai tempat pindahan terakhirnya ekoran kawasan dan kemudahan Medan Selera yang sesuai untuk peniaga dan juga pengunjung.

Namun begitu, menurut Rahmah, walaupun dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti tandas, tempat pembuangan sampah, tempat letak kenderaan, taman landskap dan ruang permainan kanak-kanak, kini hanya lima hingga enam meja sahaja yang diberi peruntukan.

Jelas Rahmah, di tempat baru ini menunya terpaksa dikurangkan kerana kawasan tidak besar, di samping kerusi dan meja yang tidak mencukupi untuk menampung pelanggan yang ramai.

“Saya berharap agar pihak Majlis Dearah Lundu lepas ini mengubah suai di bahagian depan gerai supaya disimen agar kawasan lebih besar supaya dapat menampung belasan buah meja.

“Kini gerai kami lebih teratur dan kawasan paling sesuai sekali kerana tempatnya sangat strategik tempatnya… Sejak minggu lepas pendapatan gerai saya memang meningkat dan ramai pelanggan yang datang untuk makan,” jelasnya lagi.

Bagi kadar sewa, Rahmah memberitahu dia perlu membayar sebanyak RM520 bagi enam bulan berbanding RM330 bagi enam bulan di pasar malam lama, manakala bil elektrik dan air di medan selera perlu dibayar sendiri.

“Dengan adanya medan selera ini semua penjaja menjangka pendapatan mereka akan bertambah… Dulu kami berniaga hanya waktu malam sahaja dan kini kami boleh buka niaga waktu siang dan malam… Saya akan buka gerai makan saya mulai dari jam 9 pagi hingga 11 malam,” jelasnya.

WhatsApp Image 2017-02-10 at 10.59.53 PM

Dalam pada itu, kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Lundu untuk merasmikan Medan Selera Lundu semalam telah menggembirakan penjaja-penjaja tempatan.

“Kami penduduk di Lundu berharap agar Lundu lebih maju dalam sosioekonomi demi untuk meningkatkan pendapatan kami di luar bandar, ini harapan dan doa kami,” kata Rahmah mewakili rakan-rakan peniagaya.

Mempunyai empat pembantu, Rahmah yang bertindak sebagai tukang masak digerainya sendiri berharap agar pembangunan di Lundu lebih maju lagi pada masa akan datang.

 

– AH/AAS

Tinggalkan komen anda