
Oleh: Genda Sating & Mohamad Borhan Ahmad Ulis / Foto: Jaed Tepus
LUNDU, 7 Feb (Malaysiaaktif)–Memasuki hari keempat kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Tanjong Datu, hanya bendera, poster, paparan iklan dan sepanduk Parti Pesaka Bumiputera Bersatu dan Barisan Nasional (BN) yang memenuhi premis kedai dan jalan utama Pekan Lundu.
Suasana di sekitar pekan dan kampung sekitar Lundu secara keseluruhannya masih dalam keadaan tenang. Namun Pekan Lundu kini bertambah meriah dengan kehadiran orang luar yang berkampung di sini sepanjang PRK berlangsung.
Menurut penduduk Kampung Stuggang Melayu, Rosnani Saidi, 62, Pekan Lundu kini telah mula dikenali masyarakat luar terutamanya semenjak Allahyarham Tok Nan (Tan Sri Adenan Satem) dilantik sebagai wakil rakyat di kawasan ini.
“Bukan hanya ketika PRK berlangsung malah pada hari-hari biasa dan hujung minggu orang luar mula memenuhi Pekan Lundu. Lebih-lebih lagi selepas beberapa program besar diadakan ketika arwah Tok Nan masih hidup seperti Pesta Lundu.
“Saya masih ingat lagi salah satu ucapan arwah Tok Nan suatu ketika dahulu, jika saya menjadi menteri, saya akan bangunkan Lundu. Pada masa itu, anak saya masih lagi sekolah rendah dan kini anak saya berada di universiti.
“Jadi saya memang nampak semua perubahan tersebut dan ternyata apa yang arwah Tok Nan kata, beliau kotakan,” jelas Rosnani lagi.
Sehubungan itu, Rosnani berharap BN akan memperoleh kemenangan apatah lagi calon BN merupakan isteri Tok Nan sendiri iaitu Puan Sri Jamilah Anu yang terkenal dengan sifat mesr dan mudah didekati.
“Tiada calon yang lebih layak berbanding dengan Puan Sri Jamilah. Beliau sering kali menemani arwah suaminya ketika menghadiri majlis-majlis rasmi dan bertemu dengan rakyat. Justeru, beliau paling layak untuk menyambung tugas yang ditinggalkan oleh arwah bagi membangunkan Pekan Lundu dan kawasan sekitarnya,” tambahnya.
Dalam pada itu, bagi Mohd Faiz Jaafar, 19, dia mengharapkan calon yang akan mewakili kawasan N03 Tanjong Datu dapat memberi perhatian terhadap pembangunan belia di kawasan tersebut.
“Golongan belia amat mengharapkan pembinaan lebih banyak lagi pusat aktiviti sukan seperti futsal dibina di kawasan Lundu. Di samping memberi peluang kepada belia untuk beriadah, pusat aktiviti sukan ini akan dapat menghindari golongan belia daripada terjebak dalam aktiviti yang tidak sihat,” tambah Faiz lagi.

Antara pengunjung yang singgah untuk membeli keropok dan kuih kering di persimpangan masuk Kampung Stunggang
Faiz yang menolong ibunya berniaga keropok kering dan biskut tempatan di persimpangan masuk ke Kampung Stunggang Melayu juga berharap agar pihak yang prihatin dapat membina premis perniagaan yang selesa bagi peniaga-peniaga kecil sepertinya.
Sementara itu, Noor Idayu Wahid, 32, berkata pemergian Tok Nan pada 11 Januari lepas masih lagi dirasai bukan sahaja bagi penduduk Lundu bahkan seluruh Bumi Kenyalang.
“Saya sekeluarga bertolak ke Kuching pada awal pagi 12 Januari untuk memberikan penghormatan terakhir kepada arwah Tok Nan. Kami juga hadir ke majlis pengebumian Tok Nan pada sebelah petangnya di Tanah Perkuburan Islam Samariang,” kata Idayu yang fasih berbahasa Melayu Sarawak.
Idayu yang berasal dari Terengganu dan berkahwin dengan penduduk tempatan telah menetap hampir sembilan tahun di Lundu amat berharap calon BN akan dapat meneruskan usaha Tok Nan untuk membangunkan kawasan Lundu.
“Puan Sri Jamilah amat mesra dengan penduduk kampung. Saya yakin beliau akan menang pada 18 Februari nanti,” ujar Idayu yang mengakui dia tidak mengenali calon-calon lain dan hanya tahu ketika Hari Penamaan berlangsung pada Sabtu.
Undian awal PRK Tanjong Datu bakal berlangsung pada 12 Februari ini manakala undia biasa pada 18 Februari ini.