Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

‘Jeti Tok Nan’ Ubah Nasib Pesara Kerajaan

By 7 Februari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh: Mohd Baharruddin Mohamad/Foto: Razali Ihi (Sarawak)

LUNDU, 7 Feb (Malaysiaaktif) – ‘Jeti Tok Nan’, Kampung Stunggang Melayu mungkin kedengaran biasa, namun memberikan banyak pegertian kepada seorang pesara kerajaan yang kini telah berjaya menjadi seorang pemborong dan pengedar udang galah hidup di Lundu.

Jeti yang menghubungkan pangkalan Sungai Batang Kayan dan Kampung Stunggang yang didirikan atas ihsan arwah Tok Nan ini membuka peluang kepada penduduk kampung untuk menguruskan hasil tangkapan udang saban hari.

“Saya pernah memohon bantuan untuk membina jeti dari pangkalan Sungai Batang Kayan menuju ke rumah saya dan Tok Nan memberi bantuan sebanyak RM5000 untuk membeli papan dan kayu belian yang dijadikan tiang,” demikian luah Awangku Sapiee Pengiran Basar, 63, ketika ditemui pagi tadi.

Kolam udang Awangku Sapiee

Kolam udang Awangku Sapiee

Tambahnya, jeti tersebut digunakan untuk berjalan dari rumah ke sungai dan juga digunakan oleh pembekal-pembekal udang setiap hari apabila menghantar udang hasil tangkapan mereka.

“Tanpa Jeti Tok Nan ini agak sukar sedikit untuk pergi ke tebing sungai kerana terpaksa melalui tanah lecak dan laluan kayu kecil,” ujarnya yang mula mengusaha pengedar udang sejak 2005 secara kecil-kecilan dengan bermodalkan RM500.

Dengan jaminan peluang yang terbuka, Awangku Sapiee yang merupakan bekas kakitangan Jabatan Penerangan Malaysia mengambil keputusan memilih untuk bersara awal semasa berumur 53 tahun untuk mengusahakan perniagaan udang.

“Sebelum ini juga saya pernah menerima bantuan daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sebanyak RM10 ribu untuk mengubah suai tempat stok udang yang dijual oleh pembekal sebelum dihantar ke Kuching.

“Udang akan dipasarkan ke Bandar Kuching iaitu ke tempat kedai pancing udang dengan harga   borong RM57 sekilo untuk udang hidup bagi setiap kategori A, B dan C.

Awangku Sapiee menimbang udang mati untuk dijual kepada pembeli.

Awangku Sapiee menimbang udang mati untuk dijual kepada pembeli.

“Udang yang dah mati saya jual RM40 bagi gred A, RM30 bagi gred B dan RM18 bagi gred C,” jelasnya yang dapat menjual sebanyak 120kg udang hidup dan lebih kurang 40kg udang mati setiap hari.

Sementara itu, Awangku Sapiee menyatakan yang dia memperoleh bekalan udang dari kampung yang berdekatan.

“Orang kampung yang berdekatan seperti Kampung Sebandi, Kelaoh dan Lundu sendiri yang menangkap udang dengan menggunakan bubu, pancing dan jala memberikan bekalan kepada saya.

“Setiap hari seramai 30 orang yang selalu membekalkan udang kepada saya dan sebelum hantar kepada pemborong saya ternakkan di dalam kolam kecil dahulu. Kini saya mempunyai sebanyak tujuh buah kolam ternakan kecil,” ujarnya.

Dalam pada itu, pesara itu turut menganggap arwah Tok Nan sebagai pemimpin Lundu yang banyak berbudi kepada masyarakat di Lundu.

“Semasa Tok Nan menjadi wakil rakyat kami di Lundu ini, arwah banyak berbudi dan membantu masyarakat. Jasa Tok Nan memang sukar untuk dilupakan. Lundu juga semakin hari semakin banyak perubahan positif,” jelasnya lagi.

 

-SF/AAS

Tinggalkan komen anda