Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Pengalaman Tidak Boleh Dibeli Wang Ringgit – Doktor Muda ATM

By 6 Februari 2017Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh Genda Sating  / Foto: Jaed Tepus

LUNDU, 6 Feb (Malaysiaaktif) – Apabila dimaklumkan akan dihantar bertugas ke Sarawak sebaik tamat latihan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Dr Ashwin berbelah bagi memandangkan dia tidak pernah menjejakkan kaki ke Borneo.

Anak muda berusia 27 tahun dari Petaling Jaya itu tidak menyangka akan dihantar bertugas di Pusat Pergigian, ATM Sarawak di Kem Semenggok, Kuching sekitar Ogos tahun lalu.

WhatsApp Image 2017-02-05 at 9.42.14 PM

Leftenan Dr. Ashwin semasa Program Jiwa Murni

Dr. Ashwin yang baru tujuh bulan berkhidmat di Sarawak yang ditemui ketika Program Jiwa Murni di Kampung Sempadi, di sini pada Ahad berkata pengalaman ialah sesuatu yang amat bermakna dan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

Selepas tamat latihan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai Doktor Pergigian, Dr. Ashwin mendapat tahu yang dia  akan ditempatkan di Kuching Sarawak.

“Saya berasa agak ragu-ragu kerana sebelum ini saya tidak pernah menjejakkan kaki ke Sabah dan Sarawak. Namun setelah beberapa bulan berkhidmat di negeri ini ternyata pandangan saya berubah.

“Saya dapat menyesuaikan diri dengan cepat. Masyarakat di sini amat peramah dan sangat terbuka. Mereka menerima kehadiran orang luar dengan baik,” ujar Dr Ashwin.

Menurutnya lagi walaupun berkhidmat sebagai Doktor Gigi, namun perjawatannya bersama Pasukan Bergerak ATM memerlukan Ashwin bergerak bukan sahaja meliputi kawasan Sarawak malah ke negeri Di Bawah Bayu, Sabah.

Terdapat 78 program dirangka untuk negeri ini pada tahun ini seperti program CAP (Civil Action Programme) dan MOP (Mobile Outreach Programme).

Melalui program ini doktor muda tersebut berpeluang menimba lebih banyak pengalaman dan berpeluang mengunjungi kampung-kampung dan rumah-rumah panjang di pedalaman Sarawak.

Bersama-sama rakan tentera yang terlibat ke Long Singut

Bersama-sama rakan tentera yang terlibat ke Long Singut

Tambahnya, antara pengalaman yang paling berharga dan mencabar setakat ini ialah semasa menyertai Program Jiwa Murni di Long Singut, Kapit, Sarawak sekitar Oktober tahun lalu.

Menurut Dr Ashwin, perjalanan ke kampung di Long Singut mengambil beberapa hari dan terpaksa bertukar-tukar jenis pengangkutan seperti menaiki kereta, bot ekspres, perahu dan lori balak hinggakan ada antara anggota mereka yang muntah-muntah akibat mabuk dalam perjalanan sebelum tiba di kampung berkenaan.

“Oleh yang demikian, mental dan fizikal harus kuat. Syukur saya memang suka akan cabaran dan dunia pengembaraan.

“Kesukaran ini amat berbaloi apabila mendapati bahawa khidmat bakti kami amat diperlukan dan kehadiran anggota kami amat dialu-alukan serta disambut mesra oleh penduduk kampung.

“Malah ada antara warga emas yang datang mengakui tidak pernah mendapatkan rawatan dan berjumpa doktor gigi. Pada ketika itu saya telah menerima kehadiran kira-kira 62 orang penduduk kampung yang memerlukan bantuan pemeriksaan pergigian.

“Saya amat bersyukur dengan pengalaman tersebut dan tidak menyesal memilih kerjaya sebagai doktor pergigian,” ujar Dr. Ashwin lagi.

Kanak-kanak lelaki ini berlakon menggunakan peralatan komunikasi tentera sambil diperhatikan oleh anggota tentera yang bertugas

Mencuba peralatan komunikasi tentera sambil diperhatikan oleh anggota tentera yang bertugas.

Program yang julung kali diadakan di kampung berkenaan itu merupakan anjuran Tiga Skuadron Semboyan Diraja, Kem Penrissen, Kuching dan penduduk Kampung Sempadi yang melibatkan seramai 145 anggota tentera dan pegawai.

Terdahulu Majlis Doa dan Bacaan Tahlil kepada Allahyarham Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem telah diadakan di masjid.

 

-SF/AAS

Tinggalkan komen anda