Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Calon Lawan Hanya Ingin Raih Populariti – Wan Junaidi

By 6 Februari 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh Mohamad Borhan Ahmad Ulis / Foto: Razali Ihi

LUNDU, 6 Feb (Malaysiaaktif) – Kedua-dua calon lawan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N03 Tanjong Datu mempunyai keinginan hanya untuk meraih populariti dan bukannya bertanding atas membela nasib rakyat.

Pengarah Operasi PRK, Datuk Dr. Wan Junaidi berkata demikian ketika menghadiri Majlis Bersama Pemimpin di Masjid An Nur, Kampung Stunggang Melayu, malam tadi.

“Salah seorang daripada calon tersebut kita akui mempunyai latar belakang akademik yang baik. Namun begitu, apa yang kita mahukan ialah seorang wakil yang boleh membawa permasalahan rakyat ke pucuk pimpinan dan berjuang demi kebajikan masyarakat setempat,” ujarnya.

Dua calon lain yang bertanding.

Dua calon lain yang bertanding.

Sementara itu, pemilihan Puan Sri Jamilah Anu sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N03 Tanjong Datu merupakan pilihan yang tepat dan sesuai.

Wan Junaidi menyifatkan pemilihan Jamilah sebagai calon BN dalam menghadapi PRK itu nanti telah diputuskan sebulat suara oleh pucuk pimpinan Parti Pusaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Datuk Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg.

“Jamilah merupakan individu yang berkaliber. Sepanjang Allahyarham suaminya, Tan Sri Adenan Satem menjelajah ke seluruh bumi Kenyalang, Jamilah sentiasa di samping suaminya bagi memberi sokongan moral. Segala jerih perih Allahyarham dilalui bersama oleh Tan Sri. Sewajarnya pemilihannya sebagai calon BN tidak harus dipertikaikan,” jelas Wan Junaidi.

Wan Junaidi menegaskan bukan menjadi satu amalan bagi BN untuk meletakkan isteri atau suami penyandang sebagai pengganti setelah kematian pasangan tersebut.

“Kita tegaskan bahawa pemilihan calon di sesebuah kawasan bukan berdasarkan meraih undi simpati tetapi lebih kepada bagaimana calon tersebut membawa suara rakyat ke pucuk pimpinan.”

“Alhamdulillah, Puan Sri Jamilah menepati segala kriteria sebagai seorang yang bukan sahaja berwibawa malah mempunyai hubungan yang rapat dengan masyarakat setempat khususnya di Tanjong Datu,” kata Wan Junaidi lagi.

Wan Junaidi dan Azizul bersalaman bersama dengan para jemaah yang hadir semalam

Wan Junaidi dan Azizul bersalaman bersama dengan para jemaah yang hadir semalam

Tambahnya,  walaupun Jamilah kini sedang melalui tempoh “edah” setelah kematian suaminya dan belum berupaya untuk berkempen, tanggungjawab tersebut dipikul oleh anaknya, Azizul Annuar Adenan yang turut hadir semalam.

“Saya mengenali Azizul sejak kecil lagi kerana dia belajar di sekolah yang sama dengan anak saya. Oleh itu, keperibadian Azizul saya sifatkan sebagai seorang yang ikhlas dan jujur,” jelas Wan Junaidi.

Wan Junaidi turut menasihatkan agar para pengundi di kawasan Tanjong Datu khususnya Kampung Stunggang Melayu supaya tidak mengambil mudah pada hari pengundian.

“Gunakan hak anda sebagai pengundi kerana pilihan anda semualah yang menentukan masa depan kawasan anda. Peratusan kemenangan yang dicapai oleh Allahyarham Tok Nan iaitu sebanyak 92.2% pada Pilihan Raya Negeri lepas menjadi tanda aras kepada PRK ini.”

“Kita mahu sokongan yang sama diberikan kepada Datuk Jamilah malah lebih lagi untuk kita teruskan legasi Tok Nan yang telah beliau tinggalkan,” ujar Wan Junaidi.

Wan Junaidi juga memaklumkan bahawa dia akan berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam masa terdekat bagi mengemukakan cadangan membina jalan masuk ke kampung-kampung sepanjang projek Pan Borneo di kawasan Lundu bagi membuka peluang ekonomi penduduk setempat.

 

-SF/AAS

Tinggalkan komen anda