
Oleh: Syed Fauzi Syd Mostapa/ Foto: Jaed Tepus
LUNDU, 10 Feb (Malaysiaaktif) – Bukan sekadar terkenal sebagai bandar pelancongan, Lundu dan Sematan kini akan turut menjadi medan menghimpun makanan lazat tradisional tempatan setelah Medan Selera Lundu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pagi tadi.
Sate empat generasi, ulam-ulaman Sarawak dan ayam pansoh antara juadah istimewa tradisional masyarakat Sarawak yang memenuhi Medan Selera Lundu yang dibina dengan kos keseluruhan bernilai lebih RM empat juta.
Menurut peniaga, Sofia Sahi, Gerai Sate Warisan Bonda miliknya menjanjikan sate istimewa daripada empat generasi.
“Dengan rasa rempah-ratus Sarawak yang lebih kepada rempah asli, dengan kepedasan kuah berserta rasa manis dan masin saya sajikan sate istimewa daripada empat generasi keluarga saya.
“Selain sate ayam dan daging saya juga mempunyai sate bontot ayam dan kulit ayam. Saya percaya dengan adanya medan selera ini, lebih ramai pengunjung Lundu akan dapat menikmati kelazatan Sate Sarawak yang sekadar 50 sen secucuk,” ujarnya yang mengagumi kepimpinan Puan Sri Jamilah.
Sementara itu, Siti Hafizah Musa, 28 dari Kampung Sileng Melayu, bagi peniaga nasi ulam ayam goreng berempah, sajian ulam-ulaman yang ditanam di kebun neneknya sejak lama dahulu dipilih sebagai menu utama kedainya.
“Dahulu bukan mudah untuk keluar kerana tiada jalan raya, jadi nenek saya Fatimah TK Sabli, 76 menggunakan ulam-ulaman yang ditanam di kebun sebagai sajian utama kami.
“Ulam-ulam seperti ulam raja si cantik manis, pucuk pandung, rebung, kacang lendir, sayur rebung dan kobis yang dimakan bersama sambal belacan ini kami sekeluarga telah mula jual sejak 2006.
“Ulam ini dimakan beramai-ramai yang melambangkan kaum Melayu di Sarawak yang rata-rata makan ulam ini dengan ayam berempah ketika makan tengah hari atau makan malam.
Hafizah yang ada menerima latihan pengendalian oleh Kerajaan Negeri menyifatkan penubuhan medan selera ini tepat pada masanya untuk melambangkan kemajuan Lundu.
“Arwah Tok Nan yang menyediakan kawasan baharu Medan Selera Lundu untuk memberi peluang kepada kami sekeluarga berniaga. Medan Selera ini diharapkan dapat menarik lebih ramai pengunjung tidak kira dari Sarawak, Semenanjung atau luar negara untuk merasai sendiri kehebatan Lundu walaupun lokasinya seperti hujung dunia,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, peniaga ayam pansuh Aliza Mat, 48, yang pernah menerima bantuan 1Azam, Medan Selera ini ibarat durian runtuh kepada peniaga yang telah enam kali berpindah sebanyak enam kali.
“Menerusi Bantuan 1Azam, saya ada terima RM10 ribu tetapi bukan dalam bentuk duit tetapi dalam bentuk barangan seperti kerusi meja, dapur dan peti sejuk. Saya gembira kerana dah berapa lama kami duduk di bawah pokok, di tepi jalan, setelah berpindah enam kali kini kami dapat kedai baharu. Terima kasih kepada arwah Tok Nan,” ujarnya lagi.
Bagi Ketua Menteri Sarawak, Abang Zohari Tun Abang Openg atau lebih dikenal sebagi Abang Jo, Medan Selera ini merupakan legasi arwah Tok Nan.
“Apabila saya melihat medan selera ini, saya terbayang muka Tok Nan kerana beliau yang mulakan dengan memberikan tapak kepada peniaga Tanjong Datu untuk bersama membangunkan kawasann ini. Inilah legasi Tok Nan.
“Arwah nak ubahkan Tanjong Datu yang cantik dengan gunung, pantai dan orangnya yang peramah. Banyak sungai sebesar Sg Pahang dan banyak ketam. Orang Lundu ni jika menyepit dia menyepit sampai lekat. Inilah mesranya orang Lundu dan orang Tanjong Datu yang melambangkan Tok Nan,” ujarnya lagi.
Medan Selera yang dibina dalam masa sembilan bulan sejak 4 April 2016 dan siap pada 3 Januari lepas mempunyai sebanyak 25 gerai yang menyediakan 378 tempat duduk, surau, tandas dan lebih 80 tempat meletak kenderaan.
-SF