Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Penduduk Lega, PM Umum Pasang Paip Retikulasi

By 10 Februari 2017Tiada komen3 minit bacaan

Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa / Foto: Jaed Tipus

LUNDU, 10 Feb (Malaysiaaktif) – “Apabila PM mengumumkan Projek Memasang Paip, itu yang kami nanti-nantikan selama ini. Kami penduduk di Lundu dan Sematan kini merasa lega kerana jika betul-betul diusahakan pastinya dapat mengurangkan permasalahan air di kawasan ini”.

Demikian luah seorang guru pencen, Richard Noming Juhi, 61 ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Projek Memasang Paip Retikulasi serta Pembinaan Loji Air serta Stesen Pam Penggalak akan dilaksanakan di Tanjong Datu dan Tasik Biru.

Penantian isu air  diharap berakhir-Gru pencen Richard Noming

Penantian isu air diharap berakhir-Gru pencen Richard Noming

Guru yang berasal dari Kampung Sembiris 11km dari pekan Lundu berkata masalah utama penduduk Lundu berkaitan isu air berlaku terutama ketika musim tengkujuh kerana saluran air akan tergendala yang menyebabkan masalah aktiviti harian.

“Masalah air, kami gunakan graviti air dari Sungai Gading. Apabila tiba musim tengkujuh, biasa akan ada kerosakan sama juga seperti di Sematan. Jika hujan memang tak dapat digunakan.

“Kebanyakan kami memang bergantung kepada sungai untuk menyediakan minuman, makanan, masak, dan membasuh. Air sungai tu boleh dikatakan bersih, namun jika nak diminum perlu dimasak. Dahulu juga gunakan air sungai, namun setelah ada paip sedikit membantu namun masih tergendala ketika musim hujan begini,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Najib yang ditemui ketika merasmikan Medan Selera Lundu mengumumkan Kementerian Luar Bandar akan melaksanakan Projek Memasang Paip Retikulasi serta Pembinaan Loji Air serta Stesen Pam Penggalak untuk kawasan Tanjong Datu dan Tasik Biru yang berjumlah RM 129 juta.

Najib Razak dan Abang Jo ketika merasmikan Medan Selera Lundu pagi tadi

Najib Razak dan Abang Jo ketika merasmikan Medan Selera Lundu pagi tadi

“Saya datang untuk beri buah tangan kepada semua  tetapi sebelum saya datang saya pastikan dapat pengesahan daripada kementerian berkenaan sebab saya tak mahu janji tinggal janji. Kalau saya umum sesuatu, saya mahu projek tersebut dilaksanakan.

“Saya nak beritahu jika di sini masalah air seperti Ketua Menteri kata dalam ucapannya tadi kalau goncang kepala air dia sekadar keluar tik tik tik.

“Projek ini dalam proses reka bentuk dan akan dilaksanakan selepas siap. Inilah sesuatu yang kita boleh beri kerana air merupakan kemudahan asas penting kepada kita semua,” jelasnya lagi.

Nani Anak Sok berharap masalah air kotor sebelum ini akan dapat diselesaikan

Nani Anak Sok berharap masalah air kotor sebelum ini akan dapat diselesaikan

Dalam pada itu, menurut Nani Anak Sok, 52 dari Kampung Sebandi, pengumuman istimewa daripada Najib itu menggembirakan seluruh penduduk Lundu kerana selama ini mereka hanya bergantung harap kepada air sungai.

“Saya gembira kerana masalah air dapat diatasi. Elektrik memang ada. Namun air tidak disambungkan ke kampung kami sejak dulu lagi.

“Sumber air kami ambil dari Sungai Batang Kayan, air tangki 1Malaysia dan air hujan untuk urusan seharian seperti mandi, basuh baju dan memasak.

“Dengan pengumuman Datuk Seri tadi benar-benar menggembirakan kami. Masalaah kulit oleh sebab air kotor juga harap dapat diatasi selepas ini,” ujarnya lagi.

Pada majlis itu juga, Najib menyatakan Projek Pan Borneo yang turut menghubungkan Pulau Melano dan Sematan yang menelan belanja lebih setengah bilion juga akan disiapkan lebih awal iaitu pada penghujung 2018 berbanding 2019 sebelum ini.

-SF

Tinggalkan komen anda