
Oleh Mohamad Borhan Ahmad Ulis / Foto: Jaed Tepus
LUNDU, 13 Feb (Malaysiaaktif) – Rakyat dinasihati bersabar dalam menunggu Geran Hak Milik Tanah Adat Bumiputera atau NCR dikeluarkan oleh Jabatan Tanah dan Survei setelah fasa pertama sukatan perimeter dilaksanakan.
Demikian kata Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Majlis Penyampaian Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri di Dewan Chung Hua, dekat sini, petang tadi.
“Kelewatan pengeluaran geran hak milik tersebut disebabkan kawasan negeri kita yang luas. Kerajaan sedaya-upaya mempercepat proses pengeluaran akan tetapi dilakukan secara berperingkat mengikut kawasan.
“Namun kita beruntung kerana mempunyai pemimpin seperti Allahyarham Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang amat mengambil serius berhubung isu-isu tanah. Beliau mengarahkan supaya pengukuran tanah NCR dilakukan dengan segera agar rakyat mendapat faedah daripadanya,” jelas Awang Tengah.
Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan menegaskan bahawa usaha pengukuran tanah NCR telah dilaksanakan sejak dulu lagi di bawah pimpinan Ketua Menteri ketika itu, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Atas kekangan teknologi ketika itu pengukuran tanah NCR dilakukan dengan cara yang agak perlahan.
Setelah Adenan mengambil alih kepimpinan negeri, beliau memberikan komitmen yang tinggi terhadap isu tanah hak adat bumiputera.
“Tidak hairan mengapa beliau (Adenan) begitu bersungguh untuk menyelesaikan isu tanah kerana beliau sebelum ini pernah bekerja sebagai seorang peguam yang menguruskan isu-isu tanah dan beliau amat arif dan faham tentang perkara tersebut,” tambah Awang Tengah.
Awang Tengah juga memuji keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak melalui kerajaan persekutuan yang memberi peruntukkan sebanyak RM118 juta bagi kerja-kerja pengukuran tanah sejak 2010.
Menurutnya, kerja-kerja pengukuran tanah NCR ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dan tidak melibatkan wang rakyat.
“Malah kita (kerajaan) memberi pampasan kepada pihak yang terlibat dalam kawasan pembangunan kemudahan infrastruktur seperti projek besar Pan Borneo. Kerajaan tidak sewenang-wenangnya mengambil tanah rakyat dengan membelakangkan undang-undang tanah,” jelas Awang Tengah lagi.
Beliau juga menyelar tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu dalam mengelirukan rakyat berhubung isu tanah. Menurutnya rakyat harus peka dan memahami proses pengeluaran geran hak milik sebelum terpengaruh dengan pihak tersebut.

Awang Tengah menyampaikan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 kepada salah sebuah kampung yang terlibat.
“Kita juga telah melaksanakan majlis serupa hampir setiap bulan. Tidak timbul soal kenapa diadakan dalam pilihan raya kecil ini sedang berlangsung. Pihak yang menghasut rakyat itu selayaknya kita gelar seperti langau,” tambahnya lagi.
Awang Tengah juga menasihati rakyat supaya berbincang dengan baik sekiranya ada pihak yang memohon untuk dilakukan pengukuran fasa kedua iaitu pembahagian lot individu.
Tegasnya, sebelum sebarang keputusan dibuat, pihak tersebut harus berbincang dengan baik dan mencapai kata sepakat dalam memohon pengukuran fasa kedua daripada Jabatan Tanah dan Sutvei.
Majlis petang tadi menyaksikan sebanyak lima buah kampung telah diberikan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 iaitu empat komuniti Iban, Kampung Gerunggang, 361.53 hektar, Kampung Klaoh, 48.902 hektar, Kampung Temelan Dayak, 239.302 hektar dan Kampung Stunggang Ulu, 76.655 hektar.
Bagi komuniti Melayu hanya Kampung Pasir Hilir Melayu meliputi 259 hektar. Untuk rekod, melalui Program Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) sebanyak 695 permohonan telah diluluskan untuk pengukuran setakat 31 Januari tahun ini.
Dalam jumlah berkenaan sebanyak 610 kawasan seluas 1,012,384 hektar atau 2,501,601 ekar telah dimulakan pengukuran fasa pertama sementara 476 kawasan seluas 763,629 hektar atau 1,886,927 ekar telah siap diukur.