Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala LumpurWilayah Persekutuan

Kadar Dividen PTPTN Tiada Peningkatan

By 13 Februari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan oleh Norisam Sahidan / Foto : Abdul Raof

KUALA LUMPUR, 13 Februari (Malaysiaaktif) – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan kadar dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional SSPN-i dan    SSPN-i Plus sebanyak empat peratus bagi 2016.

Pengumuman agihan keuntungan itu dibuat oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Dr.Shamsul Anuar Nasarah yang melibatkan peruntukan sebanyak RM76.74 juta dan akan memberi manfaat kepada lebih 2.7 juta pendeposit.

“Tahun 2016 merupakan tahun yang mencabar kepada semua pihak, namun PTPTN masih dapat mengekalkan pemberian dividen pada kadar empat peratus iaitu nilai yang sama diagihkan pada semua pendeposit tahun lepas,” katanya semasa majlis pengumuman di Menara PTPTN di sini, hari ini.

WhatsApp Image 2017-02-13 at 3.23.28 PM

Pengerusi PTPTN, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (kiri) bersama Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff (kanan) semasa gimik pengagihan dividen 4 peratus SSPN-i dan SSPN-i Plus 2016.

Tambah Shamsul lagi, prestasi penabungan SSPN-i dan SSPN-i Plus telah meningkat sebanyak RM400 juta atau 9.2 peratus kepada RM544.49 juta pada tahun 2016 berbanding RM498.61 juta pada tahun sebelumnya.

“Situasi ini menunjukkan terdapat kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk membuat penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi. Semoga SSPN-i dan SSPN-i Plus akan lebih berdaya saing dan menarik lebih banyak pembukaan akaun serta penambahan deposit.” katanya.

Tahun ini, PTPTN mensasarkan kutipan deposit sebanyak RM 550 juta dengan penambahan pembukaan akaun baharu sebanyak 350 ribu. Sejak dilancarkan pada 2004 sehingga 31 Disember 2016, sejumlah 2.7 juta akaun SSPN-i dibuka membabitkan deposit lebih RM2.6 bilion.

Bagi SSPN-i Plus yang dilancarkan pada 8 Jun 2015, sebanyak 52,615 akaun dibuka dengan jumlah deposit terkumpul kira-kira RM15.8 juta, dengan jumlah manfaat perlindungan takaful sehingga 2.3 bilion direkodkan sehingga 31 Disember 2016.

Turut hadir semasa majlis pengumuman tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad  Wan Yusoff.

 

-MSM

Tinggalkan komen anda