Skip to main content
HomeSabah

Tebus Guna Tanah Mampu Produktifkan Penempatan Baharu

By 7 Februari 2017Februari 28th, 2017Tiada komen5 minit bacaan
 
Laporan & Foto: Diana Dominic (Sabah)

KOTA KINABALU, 7 Feb (Malaysiaktif) – Pembangunan melalui konsep tebus guna tanah merupakan proses membentuk daratan baharu dari dasar laut, sungai, bekas lombong, paya dan pesisiran pantai untuk menukar status kawasan tersebut kepada suatu penempatan baharu yang lebih produktif dan bernilai.

Namun, ketidakcekapan pembangunan berkonsepkan tebus guna ini mampu mengundang kesan negatif kepada alam sekitar terhadap kehilangan habitat serta ancaman kepada spesies haiwan.

Hal ini turut memberi impak langsung kepada masyarakat persekitaran terutama dalam kalangan nelayan, penternak dan peniaga.

Mendengar taklimat ringkas daripada Datuk Bandar MBJB.

Mendengar taklimat ringkas daripada Datuk Bandar MBJB.

Menyusuri isu berkenaan, rombongan delegasi Jawatankuasa Tindakan Alam Sekitar Sabah diketuai Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai yang mengadakan lawatan kerja di dua negeri yang dilihat berjaya melakukan konsep tersebut iaitu Bandar Raya Pulau Pinang dan Johor Baharu.

Lawatan empat hari tiga malam bermula pada 12 Januari, disertai seramai 29 ahli daripada persatuan Badan Bukan Kerajaan (NGO), badan-badan sukarela sekitar Kota Kinabalu selain Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Pada lawatan tersebut delegasi berpeluang melihat sebuah bandar raya yang diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada 2008 yang terletak di timur laut, Georgetown, kini semakin pesat dipacu ekonomi sehingga menjadi tumpuan pelancong serta para pelabur dalam dan luar negara.

Menurut Pegawai Perancang Bandar dan Desa Pulau Pinang, Khadijah Abdul Karim, lebih kurang 2,000 hektar tanah telah ditebus guna bagi menampung kepesatan penduduk, pembinaan jalan raya serta pembangunan keseluruhannya.

Delegasi berpeluang mencuba basikal secara percuma di Bandar Raya Pulau Penang.

Delegasi berpeluang mencuba basikal secara percuma di Bandar Raya Pulau Penang.

“Aktiviti pembangunan tebus guna tanah di kawasan ini telah mengambil kira pelbagai faktor serta kajian sebelum dijalankan.

“Kami terpaksa mencari tempat baharu dengan sumber tanah yang sangat terhad bagi menampung pembangunan serta penduduk yang semakin ramai.

Jelasnya lagi, tebus guna tanah di Pulau Pinang bermula seawal 1980-an melibatkan tanah-tanah di pesisiran pantai yang berlumpur dan tidak sesuai untuk diusahakan serta kedalaman air yang kurang daripada satu meter.

“Peluang ini diambil untuk menebus guna tanah supaya kawasan tersebut boleh digunakan secara lebih berkesan dan memacu pembangunan serta ekonomi negeri.

“Bentuk kawasan tebus guna sebenar akan ditentukan oleh kajian-kajian terperinci seperti kajian impak alam sekitar (EIA), hidrodinamik, hidrologi dan sebagainya serta perlu mendapat kelulusan Jawatankuasa Perancang Negeri,” jelas beliau.

Penyampaian cendera kenangan kepada wakil pihak The Light Waterfront, Penang.

Penyampaian cendera kenangan kepada wakil pihak The Light Waterfront, Penang.

Berkenaan impak kepada alam sekitar, Khadijah mengakui kaedah itu menyebabkan kehilangan habitat bagi beberapa spesies haiwan selain menjejaskan pendapatan para pengusaha penternakan ikan dan ketam.

Walau bagaimanapun, syarat utama yang dikenakan kepada pihak pemaju ialah menggantikan tanah awam yang ditebus guna dengan membaik pulih ekosistem yang terjejas di kawasan yang sama.

Manakala lawatan ke kawasan pantai timur, The Light Waterfront, Penang, pemaju, Datuk Teh Chin Leong daripada IJM menyatakan, projek yang dibangunkan menggunakan teknologi hijau ini mampu mengurangkan risiko pencemaran alam sekitar.

Katanya, tanah seluas 152 ekar yang dibangunkan itu menggunakan bahan-bahan semula jadi dan memberi fokus kepada kualiti hidup yang berteraskan alam semula jadi.

Dengan jarak lebih kurang dua kilometer, rombongan diperlihat dengan pelbagai spesis ikan dari dasar laut serta terumbu karang yang diternak di sekitar terusan air dalam kawasan perumahan tersebut.

Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Pengguna, Janet Chee berkata lawatan tersebut memberi banyak maklumat berguna dan boleh dijadikan contoh dalam usaha mengekalkan alam semula jadi.

“Lawatan ini sangat memberi manfaat khususnya maklumat berkaitan alam sekitar, kaedah pemuliharaan alam sekitar yang mereka sedang usahakan dapat menjadi contoh yang baik.

“Bagi saya, Sabah amat bertuah kerana memiliki keindahan alam semula jadi yang kita perlu kekalkan,” Jelasnya ketika ditemui media sekembalinya rombongan dari lawatan tersebut pada Jumaat.

Wakil Malaysia Nature Society, SM Muthu, 68, berkata lawatan itu sangat bermanfaat dan dapat membuat perbandingan dalam aspek pembangunan melalui tebus guna tanah yang dijalankan di kedua-dua negeri.

“Saya berharap Sabah dapat mengekalkan dan menjaga alam semula jadinya yang sememangnya sangat berharga demi untuk generasi akan datang dan tidak perlu tambakan yang banyak,” ujarnya.

Berkunjung ke Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Pengarah Jabatan Perancangan dan Pembangunannya, Datuk Affendi Ahamad berkata keseluruhan kawasan yang ditebus guna merangkumi keluasan 726.07 hektar bersamaan 21.18 kilometer dalam kawasan MBJB.

“Kerajaan Singapura begitu sensitif tentang penambakan tanah yang berlaku di pesisiran pantai, begitu juga Negeri Johor.

“Kerajaan negeri dan negara jiran, Singapura mengadakan platform khas berhubung mengenai isu alam sekitar untuk membincangkan isu yang mempunyai mitigasi berkaitan dengan tebus guna tanah serta berkongsi maklumat.

“Seperti Penang, bandar raya Johor Bahru juga menghadapi masalah berkaitan dengan isu tangkapan nelayan yang berkurang akibat tambakan tersebut. Justeru, kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan keperluan kepada mereka,” jelas Affendi.

Delegasi turut dimaklumkan dengan tiga pembangunan sedang giat dijalankan ketika ini iaitu Pembangunan Teluk Danga, Pembangunan LIDO Boulevard dan Pembangunan R&F yang dapat menarik pelabur-pelabur luar melabur dalam pembangunan di kawasan persisiran pantai.

Seterusnya, lawatan ke Tanah Sutera yang terletak di Koridor Barat Bandaraya Johor Bahru pastinya suatu yang dinanti bagi menyaksikan sendiri pembangunan di bandar raya pintar yang menggunakan bahan-bahan semula jadi.

Merakamkan kenangan di hadapan Kota Iskandar, Johor Bahru.

Merakamkan kenangan di hadapan Kota Iskandar, Johor Bahru.

Manakala, Presiden Persatuan To Earth with Love, Derek Chiew berpendapat alam sekitar perlu dijaga dengan baik dan kesedaran masyarakat temtangnya merupakan objektif utama persatuan tersebut.

“Kita perlu melaksanakan pembangunan lestari yang melibatkan pertanian secara organik kerana kita ingin melihat bumi dijaga dengan baik dan mengekalkan alam.

“Saya berminat dalam lawatan ke Tanah Sutera, Johor Bahru kerana ingin melihat bagaimana pembangunan yang dijalankan itu menggunakan EM (Effective Microorganisms) yang akan melindungi bangunan agar tahan lama serta penggunaan bahan semula jadi dalam menjaga alam sekitar,” jelas Derek.

Di samping itu, ahli EAC, mewakili Kadazan Dusun Chamber of Commerce, Sylvia Atam Olas berkata lawatan seumpama ini harus diteruskan kerana Sabah perlu mempelajari cara mengurus tanah secara optimum.

Datuk Bandar, Yeo Boon Hai berkata diharap semua delegasi dapat membuka mata melihat serta memahami isu-isu teknikal dan bukannya melihat isu tersebut secara peribadi.

“Saya mahu menjadikan Kota Kinabalu ini bandar raya yang bersih, hijau dan selesa untuk didiami seiring dengan kemajuan,” katanya.

Dalam merealisasikan visi ini Yeo berharap agar mentaliti masyarakat perlu terbuka dalam menerima arus pembangunan dirancang dan yang akan dilaksanakan.

-SF/AAS

Tinggalkan komen anda