
Gambar hiasan
Laporan / foto oleh: Azreen Ahmad
AYER KEROH, 6 Feb (Malaysiaaktif) – Pos Malaysia Melaka dalam perancangan untuk membuka sebuah lagi cawangan pusat Pos Laju di sekitar Alor Gajah, di sini, yang dijangka akan mula beroperasi pada penghujung Mac.
Menurut Pengurus Cawangan Pos Malaysia Berhad Negeri Melaka, Ahmad Seman, pembukaan cawangan baru ini diharap dapat meningkatkan mutu produk dan perkhidmatan kepada masyarakat terutamanya yang di Melaka.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Melaka di Seri Negeri, di sini, pagi tadi.

Pengurus Cawangan Pos Malaysia Berhad Negeri Melaka, Ahmad Seman berkata tiga pos baharu tersebut bakal memberikan lebih kemudahan dan keselesaan untuk masyarakat khususnya yang di Melaka.
“Pos Malaysia kini amat proaktif dalam menawarkan produk serta perkhidmatan inovatif dan ini termasuklah FlexiPack domestik dan antarabangsa, Prabayar Pos Laju, Pos Insurans, Pos Ar-Rahnu dan lain-lain lagi yang boleh didapati di kesemua 28 buah cawangan Pejabat Pos serta Cawangan Pos Laju di negeri ini,” ujarnya.
Katanya lagi, Pos Malaysia yang telah wujud di Malaysia sejak lebih daripada 200 tahun menjadikannya Pos Malaysia perkhidmatan kedua tertua selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Dan kini, Pos Malaysia terpilih menjadi Ahli Majlis Pentadbiran Kesatuan Pos Sedunia (UPU) bagi tempoh 2017 hingga 2020, serta mendapat pengiktirafan bertaraf Level A* (A Star) Persijilan Pengurusan Berkualiti pada Persidangan UPU kali ke-26 di Istanbul Turki,” jelasnya.

Haniza Harun, 29, berpendapat, penambahan cawangan Pos Laju ini baik dan memudahkan lagi urusan pengguna terutamanya peniaga dalam talian.
“Ini dapat memudahkan urusan penduduk setempat untuk mengambil atau menghantar barang terutama bagi peniaga ‘online’.
Walaupun pejabat pos sedia ada memberi perkhidmatan yang sama, namun dengan adanya penambahan ini dapat menjimatkan masa dan memudahkan lagi urusan,” ujarnya.
Untuk rekod, pada 20 Oktober tahun lepas, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron telah merasmikan cawangan pejabat pos baharu Asahan.
-DZ/AAS