Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangor

MYXpats Lindungi Keselamatan Ekonomi Negara

By 6 Februari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan / Foto Noor Sazarina Mohd Noor (Petaling)

PETALING, 6 Februari (Malaysiaaktif) – “Malaysia Expatriate Talent Service Centre (MYXpats Centre) memberi komitmen untuk melindungi keperluan keselamatan dan pembangunan ekonomi negara dengan mengukuhkan penguatkuasaan dan pengawasan dalam menyediakan perkhidmatan imigresen ekspatriat yang cepat dan cekap.”

Demikian pengumuman yang dibuat oleh Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, susulan lawatan kerja di Ibu Pejabat Talent Corporation (TalentCorp) di sini hari ini.

MYXpats Centre merupakan pusat sehenti yang memproses dan mengeluarkan semua permohonan Pas Pekerjaan (EP) dan pas berkaitan EP lain bagi ekspatriat yang bekerja di Malaysia. Jabatan Imigresen Malaysia dan TalentCorp bekerjasama menguruskan pusat sehenti ini di bawah seliaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang telah beroperasi sejak Jun 2015. Peningkatan perkhidmatan yang luas diberikan Jabatan Imigresen dengan wujudnya Bahagian Perkhidmatan Ekspatriat (ESD) pada tahun 2014.

WhatsApp Image 2017-02-06 at 5.28.42 PM

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali membuat pengumuman MYXpats Centre di Ibu Pejabat TalentCorp.

“Tapisan keselamatan permohonan akan dilakukan oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan TalentCorp akan menilai kesesuaian permohonan tersebut mengikut jawatan dan keperluan industri serta majikan. Proses yang ketat ini bagi menyeimbangkan keselamatan negara dan pembangunan ekonomi dan MYXpats Centre mampu mengesan serta melaporkan kes permohonan EP yang menggunakan dokumen palsu.” jelas Datuk Seri Mustafar lagi.

Pertumbuhan ekonomi Malaysia telah membawa kepada peluang-peluang pekerjaan profesional yang memerlukan kemahiran yang khusus terutamanya dalam sektor berimpak dan bernilai tinggi. Walau bagaimanapun keutamaan kerajaan adalah untuk memastikan kesejahteraan negara tidak terjejas dan sebarang risiko keselamatan dapat dikawal ketat. Kerjasama dan dedikasi pasukan di MYXpats Centre akan dipertingkatkan untuk memenuhi keperluan perniagaan majikan dan dalam masa yang sama mengimbangi keperluan keselamatan.

WhatsApp Image 2017-02-06 at 5.28.41 PM

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali diberi taklimat oleh pegawai MYXpats Centre.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp, Shareen Shariza Datuk Abdul Ghani, fokus utama TalentCorp ialah rakyat Malaysia di Malaysia. Dalam masa yang sama adalah penting untuk mengenal pasti mereka yang mempunyai set kemahiran kritikal dalam memacu daya saing dan inovatif keupayaan tenaga kerja di Malaysia.

“Hubungan yang kukuh dengan majikan dalam sektor industri utama di Malaysia dapat dimanfaatkan dan kerjasama daripada Jabatan Imigresen Malaysia memudahkan lagi keperluan kemahiran yang diperlukan oleh syarikat melalui MYXpats Centre.”

Sehingga kini, MYXpats Centre telah meluluskan 82% permohonan EP iaitu peningkatan 71% sejak tahun pertama diwujudkan. Lebih 13,220 syarikat daripada sektor utama termasuk pembuatan, perkhidmatan perniagaan dan pembinaan telah didaftarkan dengan ESD seterusnya menunjukkan komitmen kerajaan Malaysia menyelaras dan meningkatkan perkhidmatan imigresen serta pengiktirafan majikan terhadap nilai perkhidmatan MYXpats Centre dalam memenuhi keperluan perniagaan mereka.

 

-MSM/AAS

Tinggalkan komen anda