
Oleh: Genda Sating / Foto: Jaed Tepus (Sarawak)
LUNDU, 15 Feb (Malaysiaaktif) – Tuai rumah dan ketua kaum masyarakat Dayak digesa agar proaktif tanpa perlu menunggu bantuan pihak lain dalam menyelesaikan masalah yang berbangkit di kawasan masing-masing.
Menurut Menteri Kemudahan Awam, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, sesetengah tuai rumah hanya mengambil pendekatan berdiam diri dan tidak mengambil inisiatif untuk menyelesaikan masalah yang timbul daripada membuat aduan supaya masalah berkaitan dapat diselesaikan.
“Pemimpin masyarakat Dayak (tuai rumah dan ketua kaum) perlu ada hubungan baik dengan pemimpin kerajaan supaya wujud hubungan untuk memudahkan aduan disalurkan jika ada masalah berbangkit,” jelas Rundi ketika menghadiri Majlis Randau Bersama Pemimpin di Kampung Gerunggang, di sini semalam.
Tambah Rundi, pemimpin masyarakat Dayak di rumah panjang perlu bersikap telus dalam hal-hal yang membabitkan pembahagian projek di rumah panjang bertujuan mengelakkan salah faham dan prasangka buruk anak buah.
Rundi turut menekankan kepentingan pendidikan bagi membolehkan dasar dan polisi kerajaan termasuk isu-isu berkaitan diketahui.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi menjelaskan pilihan raya kali ini adalah perjuangan semua pihak bagi meneruskan legasi ‘Tok Nan’.
Katanya, pemilihan Datuk Patinggi Jamilah Anu adalah bertepatan setelah mengambil kira semua faktor, termasuk peribadi Jamilah sebagai seorang yang berjiwa rakyat dan bersederhana dalam semua aspek.
“Beliau, Jamilah Anu memang cukup dikenali semua di sini, apatah lagi Allahyarham Tan Sri Adenan telah banyak membawa perubahan dan pembangunan di kawasan ini.
“Tidak rugi untuk kita memilih beliau kerana yang pasti calon ini berkemampuan membawa kemajuan di kawasan ini,” katanya lagi.
Nanta turut menyeru masyarakat Dayak supaya turun mengundi pada 18 Februari ini dengan memberikan Jamilah majoriti besar sebagai tanda sokongan kuat kepada calon Barisan Nasional tersebut.
Turut hadir, Ketua Wanita Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Seri Doris Sofia Brodie, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Jefferson Jamit Unyat dan ADUN Kedup, Martin Ben.
– AH