Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Lebih 10 Ribu RELA Sabah Sedia Berbakti Demi Negara

By 15 Februari 2017Februari 28th, 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Oleh : Muniyamma a/p Marapen & Yahya Abd. Rajak / Foto: Saiful Rahman Sabri (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 14 Feb (Malaysiaktif) – Seramai lebih 10 ribu anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Sabah bersemangat menyambut ulang tahun ke 45 RELA dengan jiwa sedia berbakti demi negara.

Atas komitmen dan semangat ini, RELA bakal menerima sebuah pusat latihan baharu dan peruntukkan khas sebanyak RM 12 juta untuk pakaian operasi digital (POD).

Pemberian peruntukan ini disambut gembira seramai hampir 10,000 anggota RELA dari seluruh daerah di negeri ini bagi sama-sama menyambut ulang tahun penubuhan jabatan terbabit.

Anggota RELA mewakili daerah Lahad Datu, Dulakim Sahibul berkata peruntukan khas ini amat bertepatan sebagai langkah meremajakan RELA kepada golongan belia.

Dulakim berharap dengan penjenamaan semula ini dapat memikat lebih ramai remaja untuk menyertai pasukan ini

Dulakim berharap dengan penjenamaan semula ini dapat memikat lebih ramai remaja untuk menyertai pasukan ini

“Melalui pemakaian yang lebih kemas dan berketrampilan ini membolehkan kalangan remaja semakin bersemangat menyertai pasukan ini,” jelasnya.

Tambahnya lagi, selain peruntukan khas pakaian operasi, pembinaan sebuah lagi pusat latihan RELA di Sandakan adalah amat bertepatan. Ini membolehkan pasukan ini semakin mantap dan bersemangat serta memiliki kemahiran dan ilmu yang diiktiraf.

“Kini RELA tidak lagi dianggap sebagai suatu agensi sampingan semata-mata tetapi pasukan ini kini dilihat semakin kukuh dan tidak mustahil suatu hari nanti RELA juga akan diwujudkan di sekolah-sekolah sebagai satu unit beruniform untuk menanam semangat kesukarelawan di kalangan para pelajar,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Ketua Pengarah RELA, Kpjr Zulkifli Abidin berkata Sabah pada tahun ini terpilih bagi menjayakan sambutan RELA ke-45 sebagai menghargai jasa dan pengorbanan ahli-ahli RELA yang terlibat pada insiden bencana gunung kinabalu dan pencerobohan di Tanduo Lahad Datu.

“Jika dinilai pencapaian RELA selama tempoh 45 tahun ini, hasil daripada transformasi membolehkan RELA menjadi peneraju kearah perkembangan kesukarelawan ini, jika dahulu RELA hanya di kampung bertugas di majlis kahwin atau kenduri kendara tetapi kini RELA bertanggungjawab menjaga aset berkepentingan dan persempadanan negara.

LAFAZ IKRAR.....Sebahagian anggota melafazkan janji setia memberikan komitmen dalam memperkasakan perkhidmatan RELA

LAFAZ IKRAR…..Sebahagian anggota melafazkan janji setia memberikan komitmen dalam memperkasakan perkhidmatan RELA

Ujarnya lagi, RELA kini telah berkembang menjadi sebuah pasukan sukarelawan yang teramai di Malaysia dengan penyertaan melebihi tiga juta orang menjadikan rela sebagai agensi sukarelawan nombor satu di negara ini.

Ketua Menteri, Musa Aman berkata, kerajaan negeri sentiasa menghargai tanggungjawab dan sumbangan anggota RELA kepada rakyat di negeri ini khususnya.

“Anggota RELA telah memberi perkhidmatan yang terbaik dan sentiasa komited dalam membantu kerajaan negeri dalam aspek keselamatan dan penguatkuasaan, kemasyarakatan dan sosia-ekonomi serta menjayakan program yang berkaitan.

Musa turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri kerana diberi penghormatan buat julung kalinya Sabah sebagai tuan rumah untuk Sambutan Hari Ulang tahun RELA peingkat kebangsaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan persekutuan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan peruntukkan khas sejumlah RM 6 juta kepada pasukan RELA bagi menghargai prestasi dan sumbangan RELA di Sabah selama ini.

Timbalan Perdana Menteri turut berterima kasih kepada kerajaan negeri yang bersetuju untuk memperuntukkan 20 ekar tanah untuk membina Pusat Latihan RELA di Sandakan di masa akan datang.

“Atas peruntukan sejumlah ekar tanah dari kerajaan negeri ini pastinya membolehkan kerajaan persekutuan merancang membina sebuah pusat latihan RELA dikawasan Esszone sebagai usaha memantapkan lagi pertubuhan ini,” jelas Zahid.

Zahid menyatakan bahawa kerajaan negeri telah mengenal pasti tanah dan lokasi pembinaan bangunan pusat latihan baharu tersebut dan beliau komited untuk mendiri dan memulakan pembinaan pusat tersebut pada tahun ini juga sekiranya peruntukkan untuk pembinaan tersebut dapat diperolehi dengan segera.

“Peruntukan tersebut sebagai tanda penghargaan, kegigihan dan sumbangan anggota RELA yang banyak berbakti dan berjasa demi rakyat dan negara.

“Dana yang besar ini akan dimanfaatkan oleh 40 ribu bakal anggota RELA dengan pemakaian operasi Digital (POD) bagi membantu di kawasan sepanjang 1,700 kilometer dibawah kawalan keselamatan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Majlis turut menyaksikan acara pemakaian pangkat dan pengurniaan pingat RELA kepada anggota RELA yang bertugas sebagai Malim Gunung dan di ESSCOM Lahad Datu sebagai tanda menghargai sumbangan mereka.

Terdahulu, Ketua Menteri, Musa Haji Aman turut mengetuai penerima pangkat yang membawa gelaran Timbalan Ketua Pesuruhjaya RELA (kehormat).

 

-SH

Tinggalkan komen anda