Skip to main content
Berita TempatanSabah

Ragbi Bukan Sekadar Sukan Lasak

By 20 April 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan & Foto: Mohammad Abd.Rahman (Sabah)

PAPAR, 20 Apr (Malaysiaktif) – Sukan ragbi sememangnya dianggap sukan lasak dan menggerunkan tetapi semakin mendapat tempat di hati belia hari ini termasuk wanita.

Semangat berkumpulan dalam sukan ragbi sememangnya berbeza dengan sukan yang lain kerana memerlukan lebih daripada semangat dan kekuatan.

Menurut Pengerusi Penganjur selaku Presiden Persatuan Ragbi Papar, Abdul Razak, kejohanan ragbi ini sebagai satu usaha mempopularkan sukan ragbi ini kepada masyarakat.

“Ragbi sering dikatakan sukan lasak, ganas dan menakutkan berikutan memerlukan kekuatan tenaga untuk berhadapan dengan lawan yang tegap dan bertenaga.

“Ragbi sebenarnya bukan pada besarnya dan gagahnya badan tetapi lebih daripada itu. Sukan ini mampu membentuk minda dan sikap disiplin tinggi setiap pemain.

Jelasnya, pemain yang bijak hanya memerlukan teknik, disiplin dan fokus yang tepat dalam mengatur pergerakan dan cepat mencari peluang untuk menamatkan larian penamat.

“Disebabkan itu setiap pemain akan dilatih mengawal emosi agar tidak cepat marah dan terus bersemangat dan bekerjasama sebagai satu pasukan untuk menembusi benteng lawan. Walaupun sukan ini nampak ganas tetapi tidak pernah berlaku sebarang pertelingkahan serius,” katanya semasa mengadakan sidang media di daerah berkenaan pada Jumaat.

Sebanyak 71 pasukan ragbi dari dalam dan luar daerah ini akan berentap bagi merebut piala julung kalinya diadakan iaitu ‘Piala First Mayor Kota Kinabalu Datuk Abdul Ghani’ pada 29 hingga 30 April ini.

Abdul Ghani menjulang Piala Pusingan First Mayor Kota Kinabalu, disaksikan oleh Hadi (kanan)

Abdul Ghani menjulang Piala Pusingan First Mayor Kota Kinabalu, disaksikan oleh Hadi (kanan)

Kejohanan tersebut dijangka akan menghimpunkan seramai lebih 1000 pemain ragbi dari seluruh Malaysia antaranya dua pasukan ragbi daripada semenanjung, dua dari Sarawak dan tiga dari Wilayah Persekutuan Labuan.

Sementara itu, menurut Mantan Datuk Bandar Pertama Kota Kinabalu , Brigadier Jeneral Datuk Abdul Ghani, seperti kata pepatah Melayu “melentur buluh biarlah dari rebungnya”, iaitu kita percaya kejohanan ini mampu mencungkil potensi bakat baharu pemain ragbi peringkat akar umbi selain untuk menyemai semangat kesukanan dan perpaduan dalam kalangan belia.

Dalam pada itu, pengurus kejohanan, Rosmazlan Mansur berkata terdapat empat kategori dipertandingkan iaitu kategori bawah 19 tahun, 17 tahun, 15 tahun dan kategori perempuan terbuka.

“Kejohanan yang bakal berlangsung di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan Majakir dan Padang Pekan Papar ini sebagai satu lagi acara menarik di daerah berkenaan kerana buat julung kalinya sukan tersebut diadakan di daerah berkenaan sebagai usaha mendekatkan masyarakat terhadap sukan terbabit.

“Ini ialah platform yang terbaik dalam penganjuran kejohanan sukan ragbi di daerah ini kerana buat pertama kali kejohanan yang dianjurkan mendapat perhatian pasukan luar negeri dan ini pastinya mampu memperkenalkan daerah ini kepada pihak luar,” ujarnya.

Rosmazlan turut menerangkan kejohanan tersebut mengambil nama Presiden Persatuan Ragbi Papar, yang juga penaja utama kejohanan iaitu, Datuk Abdul Ghani atas jasa dan sumbangan beliau dalam bidang sukan di negeri ini.

Kejohanan ini turut dianjurkan sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada beliau sebagai Tokoh Sukan Negeri dan Kebangsaan.

Beliau juga ialah Presiden Persatuan Ragbi Sabah selama 12 tahun selain bertanggungjawab dalam Penubuhan Kelab Polo Sabah, sukan equestrian dan sukan berkuda di negeri ini.

Pada sidang media tersebut turut diadakan simbolik penyerahan Piala Pusingan Kejohanan First Mayor KK dan Piala Pertandingan sumbangan Kementerian Kebudayaan dan Belia Sukan Sabah berbentuk bola ragbi dan T-shirt sumbangan Trusted Shark.

-SF

 

Tinggalkan komen anda