Skip to main content
Berita TempatanSabah

Tabiat Tegar: Rokok Seludup Makin Laku

By 16 April 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan / Foto: Mohd Sabri Sailus (Sabah)

KOTA KINABALU, 16 Apr (Malaysiaktif) – Walaupun kenaikan harga rokok pada akhir 2015 dianggap sebagai tekanan psikologi kepada perokok untuk berhenti merokok, namun sambutan sinis tetap diberikan dalam kalangan perokok.

Lebih membimbangkan apabila perokok kini beralih untuk mendapatkan rokok ‘haram’ (rokok jalanan) yang harganya jauh lebih murah.

Seorang pekerja rangkaian kedai Orange di Pusat Bandar Kota Kinabalu, Rosfinah Mationg, 28, yang ditemui Malaysiaaktif berkata sebelum kenaikan eksais 40 peratus ke atas rokok oleh kerajaan, tempahan stok di kedainya dilakukan sebanyak tiga kali sebulan. Namun, selepas kenaikan, tempahan hanya dilakukan sebulan sekali dalam kuantiti yang kecil.

Rosfinah Mationg menjelaskan tempahan kini hanya dilakukan sebulan sekali dalam kuantiti yang kecil kerana perokok beralih pada rokok seludup

Rosfinah Mationg menjelaskan tempahan kini hanya dilakukan sebulan sekali dalam kuantiti yang kecil kerana perokok beralih pada rokok seludup

“Pengurangan jumlah jualan ini memang telah diramal tetapi masih memberi keuntungan sedikit bergantung pada pusingan stok.

“Kesan daripada kenaikan ini pembeli beralih memilih rokok seludup yang kebanyakan dijual di kaki lima kedai di beberapa lokasi tertentu di pusat bandar ini, “ujarnya.

Dalam pada itu, perokok tegar, Abdullah Zakaria, 26, berkata dia memilih rokok ‘haram’ kerana perbezaan harga yang ketara.

“Rokok kesukaan saya ialah Dunhill Merah tetapi apabila harga meningkat kepada RM17, saya terpaksa mencari alternatif untuk menghilangkan rasa ketagih dengan membeli rokok jalanan yang dijual pada harga lebih murah iaitu RM4.

“Dulu harga rokok bawah RM10 masih boleh lagi beli tetapi apabila harga naik hingga RM17 tiada pilihan kena cari rokok murah dengan cita rasa masih sama,” ujarnya yang mula menghisap rokok semasa di bangku sekolah lagi.

Abdullah juga tidak menafikan pengaruh rakan selain perasaan ingin mencuba telah membawanya mengenali dunia rokok.

“Tidak dinafikan pengaruh rakan banyak mendorong diri untuk mencuba. Mula-mula memang janggal, tapi lama-kelamaan jadi suatu kemestian dan keseronokan apabila merokok bersama kawan.

“Ibu bapa mulanya marah dengan tingkah laku ini tetapi semakin tidak ambil kisah selepas tamat persekolahan,” jelasnya.

Bagi rakan Abdullah yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad Riff, 40, berkata sebulan dia boleh menghabiskan hampir 10 kotak rokok. Tabiatnya ini berpandukan juga kepada keadaan, terutama semasa berasa tertekan atau semasa menghadiri majlis tertentu.

“Sebelum harga naik, sebulan agak terhad juga bawah tujuh hingga lapan kotak, tetapi apabila ada rokok murah keperluan semakin bertambah pula,” jelasnya yang mendakwa merokok disebabkan tekanan hidup.

Sementara itu, seorang peniaga rokok jalanan yang tidak mahu dikenali menyatakan penjualan rokok jalanan ini sejak dulu memang sudah menjadi pilihan perokok.

“Dulu kami menjual pelbagai rokok dari Indonesia dan Filipina sebagai pilihan kepada orang ramai tetapi sejak kerajaan naikkan harga rokok di kedai, permintaan ke atas rokok jalanan semakin meningkat.

“Jenis rokok yang banyak permintaan ialah ERA Biru, sementara jenis lain yang sering mendapat permintaan, termasuk jenis LA, Astro dan Premium.

Jelasnya lagi, harga bagi satu pek RM20 dan harga jualan bagi sekotak rokok mengikut jenis antara RM4 dan RM4.50. Keuntungan yang diperoleh bagi satu pek RM18 atau lebih bergantung kepada jenis rokok.

Tambahnya, permintaan amat tinggi hingga dalam sehari dia dapat menjual antara lima hingga tujuh pek. Jualan lebih meningkat, terutama semasa musim perayaan atau majlis-majlis keramaian di pusat bandar apabila kadar jualan mencecah 25 hingga 40 pek.

“Dulu cara jualan kami terpaksa bertanya kepada pembeli yang ingin membeli rokok tetapi hari ini lebih mudah kami hanya duduk dan tunggu pelanggan sendiri yang datang bertanya.

“Jualan sebegini lebih kepada rakan niaga yang malas untuk mencari pelanggan terutama kalangan rakan niaga yang uzur atau berumur, sementara bagi yang muda akan bergerak selagi ada permintaan,” jelasnya yang tidak menafikan belia merupakan antara pembeli utama.

Katanya lagi, kadang-kadang hasil jualan agak merosot apabila ada operasi penguatkuasaan oleh pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Tempoh dan kesan penguatkuasaan dan penangkapan agak lama, lebih kurang seminggu dan kadang-kadang lebih. Dalam tempoh ini kami terpaksa bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain hingga keadaan kembali tenang,” ujarnya semasa ditemui di lorong laluan kedai Kampung Air di sini baru-baru ini.

SF/AAS

Tinggalkan komen anda