Skip to main content
Berita TempatanSabah

Keunikan Seni Manik ‘Pinakol’ Kaum Rungus

By 16 Mei 2017Tiada komen4 minit bacaan

 

Laporan dan foto oleh: Fauzrina Hj.Bulka (Sabah)

KOTA KINABALU, 16 Mei (Malaysiaktif) – Hampir 30 tahun menjadikan seni manik sebagai sumber pendapatan membesarkan anak-anak seramai enam orang, Jukiah Bingkungi, 55, nekad meneruskan perusahaan ini selagi terdaya.

“Pada mulanya saya tidak begitu berminat untuk membuat seni manik hinggalah suatu hari pihak Kraftangan Malaysia datang ke kampung kami di Kudat dan mempelawa kami untuk belajar seni manik daripada mereka,” jelasnya.

Bermula di situ, Jukiah mengisi hari-harinya dengan berlatih membuat manik sehingga cekap dan seterusnya beralih sebagai mata pencarian yang sebelum ini hanya bergantung pada hasil berladang.

Penglibatan Kraftangan Malaysia, khususnya dalam program pembangunan usahawan dan promosi ternyata memberikan nafas buat seni warisan Sabah ini.

Jukiah sibuk melayan pelanggan yang memilih pinakol yang dihasilkannya.

Jukiah sibuk melayan pelanggan yang memilih pinakol yang dihasilkannya.

“Sebenarnya membuat kraftangan manik ini memerlukan ketelitian dan kesabaran yang tinggi, lebih-lebih lagi pinakol (manik yang dibuat berbentuk rantai) yang menggunakan banyak manik pelbagai warna,” katanya.

Menurutnya, untuk seutas pinakol boleh dijual dengan harga RM280 hingga RM380, manakala kalung biasa dijual dengan harga RM38.

“Selain pinakol dan kalung, saya juga membuat hiasan kepala, tali pinggang, gelang dan subang menggunakan manik. Mujur tiga orang anak saya ringan tulang untuk membantu kerana dengan usia sebegini, saya tidak larat melakukannya seorang diri,” katanya.

Tambahnya, seutas pinakol boleh bertahan lama sekiranya dijaga dengan betul. Pinakol perlu sentiasa digantung selepas digunakan untuk menjaga kualitinya.

“Saya sarankan agar pinakol digantung kerana diperbuat daripada benang sahaja, supaya pinakol lembut dan manik tersusun rapi, berbanding jika dibuat menggunakan tali tangsi, walaupun tahan lama, tapi manik tidak tersusun dengan kemas,” jelasnya.

Tambahnya, untuk membersihkan pinakol memadai hanya dengan mengelap dengan kain basah secara perlahan dan menggantungkannya semula.

Jukiah yang juga penerima wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bersyukur kerana mendapat bantuan tersebut untuk menampung perbelanjaan harian dan juga sebagai suntikan modal untuk menambah stok perusahaannya.

Jukiah berharap semoga anak-anaknya dapat meneruskan legasi perusahaan manik tersebut sekali gus menjaga tradisi suku kaum Rungus agar tidak lenyap ditelan zaman.

Harapannya turut dipersetujui oleh anak bongsunya, Fatimah Sofea Kasim, 21, bahawa generasi muda perlu belajar warisan tradisi suku kaum sendiri sebagai kesinambungan pada masa hadapan.

“Saya mula membantu ibu sejak usia muda dan melalui usaha ibu juga inilah kami dapat belajar tinggi hingga ada adik-beradik saya berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke universiti awam dan bekerja dengan kerajaan,” ujarnya.

Menurutnya, seorang daripada kakaknya turut mempunyai perniagaan manik sendiri manakala dia pula membantu perniagaan ibunya memandangkan ayahnya kurang sihat dan mempunyai masalah saraf.

“Saya dapat lihat remaja seusia saya agak segan untuk mengenakan aksesori tradisi seperti ini. Pada saya mereka seharusnya berbangga dengan produk tempatan yang mencerminkan budaya Sabah,” katanya.

Sofea turut membantu ibunya dengan menjual aksesori tradisi tersebut secara dalam talian hingga permintaan pelanggan turut bertambah.

“Jual secara dalam talian dapat membantu jualan ibu kerana permintaan aksesori tradisi seperti ini hanya meningkat ketika bulan Mei sempena menyambut perayaan Pesta Menuai di Sabah,” katanya.

Sementara itu, menurut seorang pelanggan, Ayuna Majabin, 46, dia mengenakan kalung etnik bagi menghayati sambutan Pesta Kaamatan sepanjang bulan ini.

Ayuna antara pelanggan yang memakai kalung etnik terbabit sebagai menghayati Sambutan Pesta Kaamatan.

Ayuna antara pelanggan yang memakai kalung etnik terbabit sebagai menghayati Sambutan Pesta Kaamatan.

“Corak etnik yang disusun pada kalung ini juga menunjukkan kita merupakan rakyat Sabah dan saya bangga mengakui hakikat yang saya lahir dan dibesarkan di negeri ini,”katanya.

Menurutnya, dia memang menggemari aksesori etnik kerana mudah disuai padan walaupun menggunakan pakaian moden dan dia juga mahir membuat kraf menggunakan manik serta turut menghasilkan beg manik sendiri.

“Oleh sebab saya sendiri pandai membuat kraf manik, saya faham keletihan dan tempoh waktu yang perlu dihabiskan untuk membuat seutas kalung, dan pada saya memang wajar mereka meletakkan harga yang tinggi dengan kerja yang kemas sebegini,” katanya yang telah membeli enam utas kalung untuk diri sendiri dan rakannya.

Dalam pada itu, seorang guru SMK Inanam Suzie Sekit, 37 berkata kita perlu berbangga mengenakan aksesori tradisi kerana tidak akan dapat diperoleh di tempat lain selain di Sabah.

“Motif etnik yang dicorakkan di kalung ini melambangkan identiti kita, malahan reka bentuknya juga tidak terbatas untuk digunakan dalam majlis-majlis keramaian sahaja, tetapi juga sesuai digunakan pada waktu-waktu riadah,” ujarnya.

Suzie yang juga seorang guru kebudayaan berkata sifat cinta akan tradisi suku kaum sendiri perlu bermula dari rumah, kerana ibu bapa yang perlu memainkan peranan mengasuh anak-anak untuk sentiasa berbangga dengan asal-usul mereka.

SF

Tinggalkan komen anda