Skip to main content
Berita TempatanNegeri Sembilan

SJKT Lorong Java Bakal Berwajah Baharu

By 11 Mei 2017Tiada komen2 minit bacaan

Laporan dan foto: Ramasamy Amas (Jempol)

SEREMBAN, 10 Mei (Malaysiaaktif) – SJKT Lorong Java yang berusia 120 tahun bakal berwajah baharu apabila projek bangunan tambahan empat tingkat dengan jumlah 32 bilik akan siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.

Bangunan tambahan yang terdiri daripada 19 bilik darjah dan selebihnya makmal sains, perpustakaan, sebuah dewan serbaguna itu dirasmikan oleh Presiden, Malaysian Indian Congress (MIC), Datuk Seri Dr. S. Subramaniam semasa Majlis Peletakan Batu Asas Bangunan tambahan di Sekolah tersebut semalam.

Menurut Subramaniam, Kementerian Pendidikan tidak mampu memenuhi semua tuntutan masyarakat untuk melengkapkan prasarana sekolah namun masyarakat perlu bekerjasama dengan kerajaan untuk menghasilkan mutu pendidikan.

Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan meluluskan Peruntukan Dana Khas Perdana Menteri untuk Sekolah Tamil pada 2012. Namun projek ini terpaksa ditangguhkan  kerana masalah status tanah pemilikan.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sembilan menerusi Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Hasan dan Exco Kerajaan, Datuk L.Manickam yang telah banyak membantu menyelesaikan masalah tapak tanah sekolah ini seluas satu ekar yang mula beoperasi sejak 1887.

Upacara sembahyang memohon restu agar dihindarkan sebarang bencana dan malapetaka.

Upacara sembahyang memohon restu agar dihindarkan sebarang bencana dan malapetaka.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan berkata, sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengambil alih tampuk pemerintahan sejak 2009 sehingga kini beliau dianggap sebagai Bapa Pembangunan Sekolah Tamil setelah meluluskan RM800 juta untuk projek baik pulih bangunan sekolah Tamil di seluruh Malaysia.

“Peruntukan ini tidak termasuk tujuh sekolah baharu yang diumumkan oleh kerajaan dalam belanjawan 2015 lalu. Dua buah sekolah sudah dibina masing masing satu di Selangor dan satu lagi di Kedah sementara lima buah sekolah lagi  dalam proses pembinaan,” ujarnya.

Terdahulu, Manickam  yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan  Negeri Sembilan menyarankan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) supaya mengenal pasti sebuah tapak yang bersesuaian agar sekolah ini dapat  dipindahkan ke kawasan yang lebih selesa.

“Sekolah ini perlu dilengkapi dengan sebuah padang permainan kerana kawasan sekolah  ini terlalu padat dan sempit serta tidak sesuai lagi untuk jangka panjang kerana akan berlaku peningkatan jumlah murid sekolah. Saya syorkan untuk masa kan datang sekolah ini boleh dijadikan sebagai pusat kajian Bahasa Tamil dan Kebudayaan Masyarakat India,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi LPS, R. Kalidass berkata, keluasan tapak baharu bangunan baharu ialah 10,400 kaki persegi dan kos tanahnya berjumlah RM650,000. Kutipan dana ini disumbangkan oleh orang ramai, ahli peniagaan dan alumuni sekolah ini.

Manakala, Guru Besar S. Nagarajan pula berkata sekolah ini beroperasi dua sesi kerana kekurangan bilik darjah untuk menampung seramai 887 murid dan apabila bangunan tambahan siap kelak sekolah ini akan beroperasi satu sesi.

-SF

Tinggalkan komen anda