Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Jana Pendapatan Lumayan Dengan Kelapa dan Bubuk

By 19 Jun 2017Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Laporan dan foto oleh : Miemie Ameera (Sarawak)

KUCHING, 19 Jun (Malaysiaaktif) – Pesta Benyu dan Ughang  atau Pesta Kelapa dan Udang geragau (bubuk) yang julung kalinya diadakan di Bintulu berlangsung dalam kemeriahan dengan pelbagai aktiviti tradisi masyarakat setempat diadakan.

Pesta anjuran Pejabat Residen Bahagian Bintulu dengan kerjasama Persatuan Usahawan Kecil Bumiputera Bintulu (PUKB) ini, bertujuan untuk mempromosikan produk tempatan yang menjadi sumber ekonomi petani dan nelayan di sini, selain membantu usahawan menghasilkan produk daripada kedua-dua sumber ini untuk diketengahkan sebagai acara tahunan.

Selain itu, pesta ini turut menjadi tarikan kepada pengunjung, masyarakat tempatan, pekerja asing serta pelancong untuk mengenali dengan lebih dekat budaya dan makanan tempatan yang dihasilkan daripada kelapa dan bubuk ini.

Talib (tengah) menumbuk belacan dengan lesung kayu disaksikan oleh dif-dif jemputan.

Talib (tengah) menumbuk belacan dengan lesung kayu disaksikan oleh dif-dif jemputan.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri bagi Integriti  dan  Ombudsmen, Datuk Talib Zulpilip berkata penghasilan produk makanan tradisi berasaskan  kelapa dan bubuk ini merupakan  hasil daripada laut dan tanah yang sangat bernilai dan perlu dipelbagaikan sebagai produk tradisi nilai tambah  pengusaha produk tradisi bagi menjana pendapatan yang lumayan.

Penghasilan belacan Bintulu merupakan salah satu daripada produk udang geragau yang sangat  popular malah telah dipromosikan ke beberapa buah negara luar seperti New Zealand, Australia dan Britain dan mendapat pulangan yang cukup lumayan kepada pengusaha.

“Kalau dahulunya harga belacan agak murah iaitu di antara RM20 hingga RM25 satu kilogram di pasaraya New Zealand tetapi kini harganya mencecah empat kali ganda iaitu dalam lingkungan RM80 sekilogram,” katanya semasa menyempurnakan perasmian Pesta Benyu dan Ughang di Dataran Esplaned, di sini semalam.

Beliau juga menggalakkan penanaman kelapa terutamanya kelapa pandan dan kelapa matag kerana perusahaan ini juga mampu memberi pendapatan yang lumayan memandangkan sambutan daripada orang ramai cukup menggalakkan.

“Ini merupakan aktiviti yang sangat menarik bagi yang sudah berpencen kerana selain dapat menghabiskan waktu dengan baik, pendapatan juga dapat di jana,” katanya.

Beliau juga berharap usaha penganjuran pesta ini diteruskan  dan diadakan  pada tiap-tiap tahun  bagi melonjakkan nilai produk makanan tradisi tersebut bukan sahaja di Bintulu malahan di pasaran luar khususnya.

Penolong Pegawai Pertanian Daerah Bintulu, Awang Omar Awang Antek, menyifatkan pesta ini sebagai satu platform terbaik bagi pengusaha-pengusaha kecil di sini dalam mempromosikan  produk mereka.

“Bagi  Jabatan Pertanian pula, kami lebih menumpukan kepada pameran kelapa serta produk-produk yang dihasilkan melalui kelapa. Jabatan kami juga sangat menggalakkan para petani agar menanam kelapa pandan  dan kelapa matag kerana kedua-dua  jenis kelapa ini mendapat  permintaan yang sangat tinggi selain usia untuk mendapatkan hasilnya sangat singkat berbanding  kelapa tinggi,” ujarnya.

Sementara itu, Tokoh Usahawan Bintulu, Rozana, turut melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada pihak penganjur kerana dengan adanya program seumpama ini, usahawan dapat mempromosikan produk hasilan mereka.

“Saya sangat berharap agar pesta ini dapat diangkat sebagai acara tahunan supaya kami sebagai pengusaha-pengusaha kecil dapat berkumpul dan bersama-sama mempromosikan produk kami,” jelasnya lagi.

Turut hadir isteri Talib, Datin Dr. Zaliha Abdullah, Residen Bahagian Bintulu, Muhamad Yakup Kari dan  Setiausaha Politik Ketua Menteri, Soo Li Ching.

-SH

Tinggalkan komen anda