Skip to main content
Berita TempatanSabah

Kenangan Kisah Baju Melayu Upin Ipin

By 19 Jun 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan: Fauzrina Bulka / Foto: Taulani Hamzah & Azman Jumat (Sabah)

KOTA KINABALU, 19 Jun (Malaysiaktif) – “Teringat saya kisah anak kepada sepasang suami isteri yang teruja untuk memakai baju jenama Upin Ipin, dan selepas mendapat saiz yang betul, saya berasa pelik kerana si ayah meletakkan semula baju tersebut ke rak”.

Demikian kata Pengarah Jakel Sabah, Amran ketika ditemui semasa Program Amal Jakel bersama Anak-anak Yatim Rumah Amal Kasih di Jakel Silkhouse, di sini pada Jumaat.

IMG_3421-1024x894

Tambahnya, kisah sedih yang berlaku saat akhir Ramadan itu berjaya dirungkainya apabila dia memberanikan diri untuk bertanya sendiri kepada pasangan terbabit.

“Saya risau jika layanan pekerja saya yang membuatkan dia tidak jadi untuk membeli pakaian tersebut, selepas bertanya kepada pekerja, mereka menafikannya.

“Saya tergerak hati untuk mencari mereka di luar kedai dan akhirnya saya menyapanya untuk bertanya jika ada masalah yang timbul,” ujar Amran.

Setelah diselidik, rupanya si ayah tidak mempunyai wang yang cukup untuk membeli baju tersebut tambahan pulaperlu membeli tiket bas untuk balik ke kampung selepas itu.

“Hati saya merasa luluh mendengar pengakuan si ayah, dan saya segera menarik mereka semula ke dalam kedai dan menawarkan mereka pakaian untuk sekeluarga secara percuma,” katanya.

Walaupun pada mulanya si ayah berat hati dengan tawaran saya, akhirnya dia menerimanya setelah saya mendesak, selepas itu barulah saya merasa lega,” jelasnya.

Menurut Amran, program amal yang ketujuh anjuran Jakel ini bertujuan untuk menyumbang kepada golongan yang memerlukan.

Amran menyampaikan sumbangan raya kepada anak-anak yatim pada program berkenaan.

Amran menyampaikan sumbangan raya kepada anak-anak yatim pada program berkenaan.

“Saya sedar masih ramai orang yang kurang berkemampuan di luar sana yang perlukan bantuan, jika saya diberi kesempatan untuk membantu, saya akan buat yang termampu,” katanya.

“Justeru, saya turut berharap anak-anak yatim yang datang hari ini akan gembira dan rasa dihargai dengan menerima baju raya daripada Jakel supaya mereka tidak merasa tersisih dan dapat merayakan Aidilfitri sama seperti orang lain,” katanya.

25 orang anak-anak yatim itu seterusnya dibawa berbuka di Warung Pokdi Kelate yang terletak di Sulaman Centre.

Menurut pemiliknya, Mohd Mawardi Ismail, 36 atau lebih mesra dipanggil Pokdi, ini merupakan kali pertama kedainya turut serta dalam Program Amal sejak mula dibuka pada September tahun lepas.

Pokdi bersama-sama anak-anak yatim ketika berbuka puasa di kedainya

Pokdi bersama-sama anak-anak yatim ketika berbuka puasa di kedainya

“Semasa saya berniaga di gerai sebelum ini, saya juga sering menghantar juadah berbuka ke rumah kebajikan, tapi bila sudah ada kedai sendiri, kedatangan mereka untuk berbuka di sini sangat saya alu-alukan,” ujarnya yang pernah bertugas sebagai Tentera Laut.

Pokdi yang berasal dari Kelantan berkata dia sememangnya mengalu-alukan jika ada badan-badan amal yang ingin berkunjung ke kedainya, tidak hanya pada bulan Ramadan sahaja, tapi pada bila-bila masa.

Lebih manis apabila juadah berbuka anak-anak yatim ini dimasak sendiri oleh Pokdi dengan menu yang istimewa khas, ketam masak lemak cili padi dan ikan tiga rasa untuk mereka.

“Saya mahu masak sendiri juadah tersebut dengan penuh kasih sayang supaya mereka puas menikmatinya seolah-olah daripada air tangan ibu bapa yang telah mereka kehilangan,” katanya.

 

Program khidmat masyarakat ‘Kami Prihatin’ yang berlangsung itu merupakan anjuran Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO).

Timbalan Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Azrul Ahmad berkata program ‘Kami Prihatin’ ini baru sahaja diperkenal dalam usaha membantu masyarakat dan menunjukkan keprihatinan serta hubungan dan komitmen yang berkaitan dengan pembangunan masyarakat.

WhatsApp-Image-2017-06-19-at-9.38.35-AM-1024x683

Azrul (tengah) membantu adik Adam mengenakan Baju Melayu baru

Selain SEDCO, beberapa anak syarikat juga turut serta dalam memeriahkan program tersebut termasuklah Timplas (Sabah) Sdn Bhd, Hyatt Regency Kinabalu dan Perkasa Reality Sdn Bhd.

 

-SF

Tinggalkan komen anda