Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajayaSabah

Sambutan Hari Malaysia: Terima Kasih Media!

By 17 September 2017September 19th, 2017Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Laporan oleh: Fauzrina Bulka / Foto oleh: JaPen dan KEJPA

KOTA KINABALU, 17 Sep (Malaysiaaktif) – Lebih kurang sebulan sebelum tanggal keramat  Hari Malaysia pada 16 September tiba, sudah kedengaran di  radio, internet dan televisyen tentang sambutan besar-besaran yang bakal diadakan.

Kesibukan petugas media di Pusat Media Kompleks Sukan Kota Kinabalu.

Kesibukan petugas media di Pusat Media Kompleks Sukan Kota Kinabalu.

Pusat Media yang disediakan oleh pihak Jabatan Penerangan (JaPen) dibuka di Kompleks Sukan Kota Kinabalu menjadi pusat operasi untuk kira-kira 159 petugas menyebarkan segala yang berlaku seawal 15 September.

Kemerihan sambutan malam tadi juga dilaporkan secara terus-menerus agar seluruh rakyat Malaysia dapat bersama-sama meraikan hari ulang tahun penubuhan persekutuan Malaysia yang menandakan penyertaan bersama Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.

Mereka yang terlibat di belakang tabir media ini, seperti wartawan, jurukamera dan jurufoto antara penggerak utama dalam menyampaikan pelbagai berita dan warna-warna  kepada rakyat.

Ariff ketika menjalankan tugas merakamkan foto-foto sekitar Hari Malaysia

Ariff ketika menjalankan tugas merakamkan foto-foto sekitar Hari Malaysia

Menurut jurufoto Jabatan Penerangan Sabah, Abdullah Sani Ariff Lokman dia perlu memikul kamera berserta tripod seberat 6kg selama tiga hari program Hari Malaysia berlangsung.

“Agak mencabar juga perlu memikul kamera tersebut bermula 4.00 petang hingga 11.00 malam, tetapi ini bukan pengalaman pertama saya kerana sebelum ini saya pernah mengendalikan kamera yang sama dalam program lain.

“Walaupun bahu saya agak sakit, namun saya bangga dapat bertugas dan menyumbangkan tenaga bagi memastikan kelancaran program ini,” kata Ariff.

Sementara itu, menurut penerbit Siaran Langsung Jabatan Penyiaran Malaysia, Felix Lee Leng Pink, 37, dia bersama seramai 70 kakitangan, termasuk petugas penerbitan dan teknikal telah bersedia di Kompleks Sukan Likas seawal 3.00 petang.

Felix(kiri) bersama petugas RTM memastikan siaran secara langsung berjalan dengan lancar.

Felix(kiri) bersama petugas RTM memastikan siaran secara langsung berjalan dengan lancar.

Sudah lumrah setiap kali mengendalikan sesebuah program, pasti ada cabaran yang dihadapi, lebih-lebih lagi bagi mereka yang perlu membuat siaran langsung.

“Cabaran utama pastinya cuaca, kerana langit sudah menunjukkan tanda-tanda akan hujan pada awal petang tersebut, dan kami perlu memastikan segala peralatan dilindungi daripada basah.

“Peralatan teknikal juga tidak mencukupi dan kami terpaksa meminjam daripada Angkasapuri dan membuat sewaan daripada pihak swasta ditambah masa tidak mencukupi untuk memenuhi segala keperluan untuk siaran langsung mahupun semasa raptai,” ujarnya yang tidak mendapat tidur yang cukup selama tiga hari itu.

Jelas Felix, mereka juga perlu  bersedia dengan pengisian program yang sentiasa berubah-ubah sehingga ke saat akhir dan memastikan kedudukan kamera  diletakkan di tempat yang strategik untuk mendapat visual yang sesuai.

Walau bagaimanapun, Felix gembira dan berpuas hati serta bangga dapat mengusahakan siaran langsung untuk tontonan seluruh rakyat Malaysia melalui TV1.

Swady ketika meninjau keadaan Pusat Media yang dipenuhi pengamal media.

Suwadi ketika meninjau keadaan Pusat Media yang dipenuhi pengamal media.

Dalam pada itu, Pengarah Penerangan Sabah, Suwadi Guliling merakamkan penghargaan kepada semua pengamal media kerana bertungkus-lumus bagi memastikan laporan dihantar dengan tepat dan pantas.

“Segala yang mereka lakukan itu menjadikan sambutan Hari Malaysia ini lebih bermakna sebab orang ramai tahu perkembangan secara teratur dan kemas dari segi kronologi.

“Mereka juga memberikan kerjasama yang baik kepada Jawatankuasa Promosi dan publisiti Hari Malaysia iaitu JaPen yang turut membuka Pusat Media yang sedikit sebanyak menyumbang dalam kelancaran sambutan Hari Malaysia.

Kelibat seorang jurufoto merakam gambar Hari Malaysia.

Kelibat seorang jurufoto merakam gambar Hari Malaysia.

 

 

-AAS

Tinggalkan komen anda