Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Kompleks Sukan Kota Kinabalu Mulai Sesak

By 16 September 2017September 20th, 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh: Syed Fauzi Syd Mostapa (Putrajaya)

KOTA KINABALU, 16 Sep (Malaysiaaktif) – Kompleks Sukan Kota Kinabalu mula dipenuhi orang ramai sejak 4 petang tadi bagi memeriahkan Sambutan Hari Malaysia.

Menurut pengunjung, Emi Latun, 37 dan suaminya Azlan Mahali, 40, yang datang bersama anak berusia 9 tahun, mereka ingin merasakan sendiri kemeriahan sambutan Hari Malaysia secara langsung.

Emi, Azlan dan anaknya ingin melihat sendiri sambutan Hari Malaysia.

Emi, Azlan dan anaknya ingin melihat sendiri sambutan Hari Malaysia.

“Hari Malaysia biasanya kami tonton di televisyen sahaja. Sekarang kami teruja kerana berada di sini khasnya untuk mendengar ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

“Hari Malaysia ini pada kami merupakan kebanggaan untuk rakyat Malaysia. Seperti yang kita lihat di Kompleks Sukan Kota Kinabalu pada malam ini, semua datang berkunjung dari setiap pelosok seperti bangsa Bajau, Iranun, dan Kadazan.

“Kami berharap agar rakyat Malaysia akan bekerjasama mengekalkan kemerdekaan dan keharmonian kaum yang ada kini,” katanya.

Sementara itu bagi Azlan, Hari Malaysia dapat memberi pendedahan kepada anak-anak tentang erti kemerdekaan seterusnya untuk menyemai rasa cinta kepada negara dalam kalangan mereka.

“Pada pandangan saya, penting untuk anak-anak kita merasai sendiri sambutan Hari Malaysia dan lihat betapa bersemangatnya semua orang menyambut Hari Malaysia,” jelasnya.

Din berharap agar Malaysia mampu menjadi sebuah negara contoh.

Din berharap agar Malaysia mampu menjadi sebuah negara contoh.

Sementara itu, Mohd Din Gindu Abdullah, 53, dari Ranau datang bersama 22 orang sejak 4.30 petang.

“Perjalanan selama satu jam 15 minit untuk melihat perasmian Hari Malaysia tidak terasa kerana bangga menjadi rakyat Malaysia.

“Persekutuan Malaysia ini dibentuk pada 16 September 1963. Pada ketika itu, ada empat wilayah bergabung menjadi Persekutuan Malaysia iaitu Sabah, Sarawak, Tanah Melayu dan Singapura.

“Gabungan keempat-empat buah wilayah ini menjadikan Malaysia istimewa,” jelasnya.

Din yang merupakan etnik Kadazan Dusun Murut berharap agar Malaysia mampu menjadi sebuah negara contoh.

“Di Sabah sahaja ada 32 etnik. Kami memang menekankan perpaduan kaum dan diharap Malaysia juga terus unggul menjadi negara contoh di Asia Tenggara khasnya dari segi perpaduan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, bapa kepada empat orang anak, Malik Nukrih, 39, dari Kudat menjelaskan Malaysia istimewa kerana kita berbilang kaum.

“Walaupun hidup dalam kepelbagaian, kita hidup harmoni, aman-damai, tanpa sebarang peperangan.

“Dengan perpaduan yang ada, Sabah dahulu dan sekarang amat berbeza. Banyak pembangunan tercipta, jalan raya pun sudah berubah.

“Lokasi seperti Gunung Kinabalu, Pulau Sipadan, Pulau Batu Sapi, Pulau Manukan juga menjadi tempat tumpuan pelancong tempatan dan dunia,” jelasnya.

Sebagai rakyat Malaysia, Malik turut berharap agar kemerdekaan ini akan berkekalan sampai bila-bila seterusnya untuk anak cucu.

-SH

Tinggalkan komen anda